Kerajaan dibenar tangguh bayar RM31 juta, RM10,000 sehari kepada Pastor Koh, isteri

Pastro Raymond Koh. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin membenarkan kerajaan Malaysia dan 12 pihak lain menangguhkan bayaran pampasan lebih RM31 juta kepada Pastor Raymond Koh dan isterinya, Susanna Liew Sow Yoke berhubung dakwaan penglibatan kerajaan dalam kes penculikannya, sembilan tahun lalu.
Hakim, Mahazan Mat Taib turut membenarkan kerajaan menangguhkan bayaran ganti rugi RM10,000 sehari bermula 13 Februari 2017 iaitu tarikh kehilangan Raymond sehinggalah dia ditemui sehingga tarikh penghakiman ini.
Mahazan membuat keputusan itu selepas mendapati kerajaan dan 12 yang lain selaku defendan berjaya menunjukkan terdapat keadaan istimewa yang membolehkan penangguhan bayaran ganti rugi dibenarkan.
“Mahkamah berpendapat, penolakan penangguhan akan menimbulkan implikasi serius terhadap pengurusan dana awam,” katanya.
Raymond, yang lebih dikenali sebagai Pastor Koh, dilaporkan diculik ketika memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya, selepas keluar dari rumahnya untuk menuju ke kediaman seorang rakan.
Sehingga kini, beliau masih belum ditemui dan telah hilang lebih 3,000 hari.
Ketika perbicaraan, mahkamah diberitahu bahawa lima lelaki bertopeng berpakaian seragam hitam menyerupai anggota tentera telah menarik Raymond keluar dari kenderaannya.
Isteri Raymond, Susanna Liew, kemudiannya memfailkan saman terhadap kerajaan dan polis berhubung dakwaan penglibatan pihak berkuasa dalam kehilangan suaminya serta kelemahan siasatan terhadap kes tersebut.
Pada 24 September 2024, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan bahawa Laporan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat kehilangan Raymond yang diserahkan kepada keluarga dan peguam telah diubah.
KDN dalam kenyataan menjelaskan bahawa laporan tersebut merupakan dokumen milik kerajaan yang tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Arahan Keselamatan (Semakan dan Pindaan 2017).
Pada 2019, kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas itu untuk menyiasat kes kehilangan Raymond yang diculik pada 2017 serta aktivis sosial, Amri Che Mat, yang hilang pada 2016.
Dalam prosiding sama, hakim turut memerintahkan kerajaan dan pihak polis membayar ganti rugi melebihi RM3 juta kepada isteri Amri, Noorhayati Mohd Ariffin, berhubung kehilangan aktivis itu sembilan tahun lalu.
Perintah tersebut meliputi ganti rugi am dan teruk RM2 juta, ganti rugi teladan RM1 juta, serta ganti rugi khas RM14,457.52.
Pada 5 November 2025, Mahkamah Tinggi memerintahkan ganti rugi berkenaan dibayar kepada Raymond yang juga pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Harapan Komuniti, selepas membenarkan saman lelaki itu dan isterinya, Susanna Liew, 69. - Sinar Harian
BERITA LANJUT MENYUSUL
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


