SHAH ALAM: Kerajaan dicadang memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) dalam Belanjawan 2024.

Perkara itu disyorkan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menerusi tiga cadangan dan satu rujukan yang boleh digunakan oleh kerajaan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus makmur.

“Sudah berkali-kali saya sebut tentang GST, setiap kali kita dalam bajet kita nak belanja tetapi tidak ada sumber pendapatan.

“GST pun saya dah kata lima perkara kita boleh ada zero rated (kadar sifar), exemption list (senarai pengecualian), kita masih boleh beri pemberian tunai dengan kurangkan kadar daripada enam peratus kepada empat peratus serta boleh tambah baik mekanisme untuk pulangkan wang GST kepada rakyat,” katanya dalam hantaran video di Facebook beliau pada Sabtu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, kerajaan perlu menurunkan kos tanggungan majikan kepada pekerja menerusi Pelaksanaan Mekanisme Pelepasan Kos-Kos Tidak Seimbang (ICPT) kepada perusahaan kecil dan sederhana termasuk kos cuti bersalin.

Ujarnya, pengambilan pekerja asing bagi sektor 3D ( kotor, bahaya, sukar) perlu dipermudahkan bagi membantu sektor utama negara.

Menurut Ka Siong, cadangan ketiga adalah tanggungan pelepasan cukai untuk individu perlu ditambah dari RM9,000 setahun kepada RM12,000 setahun.

“Kerajaan disarankan menurunkan kadar ICPT kerana majikan terpaksa menanggung perbelanjaan lebih besar terutama cuti bersalin. Kerajaan patut fikir macam Singapura untuk bantu majikan.

“Kalau tidak ada disposable income (pendapatan boleh guna) tidak ada pendapatan yang lebih individu tidak boleh belanja, perniagaan pun tidak boleh berjalan, sebab itu saya minta setiap kali kita cari M40 ataupun T20 kita tengok kumpulan ini kalaulah dia dapat belanja lebih sikit apa kesannya?

Multiplier effect (kesan berganda) adalah apabila penjual nasi lemak dapat pendapatan RM100 tambahan boleh beli timun, ikan bilis macam-macam lagi daripada pembekal yang lain. Jadi RM100 ini boleh menjadi 10 kali ganda RM1,000 dan kita nak lihat kesan ekonomi kepada setiap lapisan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan perlu merujuk semula model ekonomi Malaysia yang diterbitkan pada tahun 2013 dan membincangkan pelbagai pelan strategik, inisiatif serta reformasi.

“Kita boleh belajar daripada model ini, saya doakan Malaysia makmur dan masih lagi kuat dari segi pertumbuhan ekonomi bukanlah seperti mana yang baru kita lalui pertumbuhan hanya 2.9 peratus untuk suku tahun lalu,” katanya.