MALAYSIA

Kerajaan digesa tegas tindakan syarikat asing langgar AMLA

Ernalisa Othman 22/10/2025 | 05:45 MYT
Wan Ahmad Fayhsal (foto) berkata ketelusan dalam menguatkuasakan AMLA amat penting supaya tiada pihak boleh memanipulasi sistem keadilan demi kepentingan sendiri. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa kerajaan bertindak tegas terhadap mana-mana syarikat asing yang disiasat di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.


Ringkasan AI
  • Wan Ahmad Fayhsal menggesa kerajaan bertindak tegas terhadap syarikat asing yang disiasat di bawah AMLA bagi memastikan undang-undang dilaksanakan tanpa pilih kasih.
  • Beliau membangkitkan isu syarikat asing yang didakwa membawa masuk pekerja secara tidak sah dan menekankan pentingnya ketelusan serta tiada campur tangan dalam penguatkuasaan undang-undang.
  • Timbalan Menteri Kewangan menegaskan komitmen kerajaan terhadap integriti sistem kewangan dan akan memberikan penjelasan bertulis berhubung kes yang dirujuk.


Beliau berkata, ketegasan itu penting bagi memastikan undang-undang negara dihormati dan dilaksanakan tanpa pilih kasih, termasuk terhadap entiti luar yang beroperasi di Malaysia.

Menurutnya, terdapat laporan sebelum ini mengenai sebuah syarikat asing yang membawa masuk pekerja secara tidak sah menggunakan visa lawatan untuk menjalankan projek di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Katanya, isu itu menimbulkan kebimbangan terhadap tahap penguatkuasaan undang-undang sedia ada serta kemungkinan wujud tekanan daripada pihak luar terhadap kerajaan.

“Kerajaan perlu memberi jaminan bahawa tiada sebarang campur tangan atau layanan dua darjat dalam pelaksanaan undang-undang ini,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, ketelusan dalam menguatkuasakan AMLA amat penting supaya tiada pihak boleh memanipulasi sistem keadilan demi kepentingan sendiri.

“Saya khuatir jika ada tekanan daripada entiti asing yang cuba melonggarkan tindakan di bawah AMLA. Sedangkan pemimpin negara dan parti politik tempatan pun pernah dikenakan tindakan undang-undang yang sama,” ujarnya.

Tambah beliau, semua pihak termasuk syarikat antarabangsa perlu mematuhi peraturan negara ini tanpa mengira latar belakang atau pengaruh ekonomi mereka.

“Sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang, biarlah proses mahkamah menentukan keputusan dan bukannya melalui tekanan politik atau diplomatik,” katanya.

Menjawab perkara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying menegaskan kerajaan komited memastikan sistem kewangan negara diurus secara telus dan adil kepada semua pihak.

Beliau berkata, setiap kes akan disiasat mengikut prosedur ditetapkan tanpa campur tangan mana-mana pihak bagi menjaga integriti peraturan kewangan negara.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai kes yang dirujuk oleh Wan Ahmad Fayhsal dan akan memberikan penjelasan terperinci secara bertulis kepada Ahli Parlimen berkenaan.






#Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal #AMLA #pengubahan wang haram #syarikat asing