Skip to main content

Malaysia

Kerajaan diminta pertimbang kenaikan kadar elaun penyelia, petugas PDK

Kerajaan Diminta Pertimbang Kenaikan Kadar Elaun Penyelia, Petugas PDK -- Kredit: Pejabat Pegawai Khas Kepada Menteri Besar Perak (DUN Kampong Gajah)
Khairul Azwan (tengah) semasa mengadakan lawatan ke PDK Kampong Gajah bagi melihat sendiri aktiviti, kemudahan serta keperluan anak-anak istimewa yang menerima khidmat dan bimbingan di pusat itu. - Gambar Pejabat Pegawai Khas kepada Menteri Besar Perak
Advertisement

IPOH: Kadar elaun penyelia dan petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) perlu dikaji semula dan dinaikkan supaya lebih setimpal dengan tanggungjawab besar mereka dalam mengurus, mendidik serta menjaga golongan orang kurang upaya (OKU).

Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampong Gajah Datuk Khairul Azwan Harun berkata ketika ini penyelia PDK menerima elaun RM1,500 sebulan manakala petugas RM1,200 sebulan, sedangkan tugas mereka memerlukan komitmen, kesabaran dan perhatian yang tinggi dalam membimbing anak-anak istimewa.

Beliau berkata peranan petugas PDK amat penting kerana mereka bukan sahaja membantu pelatih meningkatkan kemahiran dan keupayaan diri, malah turut menjadi sokongan kepada keluarga dalam memastikan anak-anak istimewa mendapat penjagaan serta bimbingan yang sewajarnya.

“Saya merayu kepada pihak kerajaan, khususnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya dapat mempertimbangkan kenaikan kadar elaun penyelia dan petugas PDK kerana mereka memainkan peranan yang sangat besar dalam mengurus, mendidik dan menjaga anak-anak istimewa.

“Dengan tanggungjawab yang mereka pikul, saya berpandangan kadar elaun yang diterima ketika ini wajar dikaji semula supaya lebih setimpal dengan tugas dan komitmen yang diberikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Azwan berkata beliau turut memohon peruntukan daripada pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi membantu menaik taraf PDK Cahaya Qaseh, Kampong Gajah yang keadaannya semakin uzur.

Beliau berkata antara keperluan yang dikenal pasti adalah kerja mengecat semula bangunan selain menaik taraf sistem perparitan berikutan masalah longkang tersumbat yang boleh menyebabkan keadaan tidak selesa dan berisiko ketika hujan lebat.

“Keadaan fizikal PDK ini juga perlu diberi perhatian supaya anak-anak istimewa dapat menjalani aktiviti dalam persekitaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif.

“Saya berharap permohonan ini dapat dipertimbangkan kerana kemudahan yang baik amat penting dalam memastikan perkhidmatan kepada pelatih dan keluarga mereka dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Terdahulu, Khairul Azwan mengadakan lawatan ke PDK berkenaan bagi melihat sendiri aktiviti, kemudahan serta keperluan anak-anak istimewa yang menerima khidmat dan bimbingan di pusat itu. 

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement