Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Kerajaan disaran tubuh pasukan respons khas urus aliran informasi masyarakat - Penganalisis

Seth Akmal 17/08/2025 | 11:05 MYT
Menurutnya, kerajaan seharusnya tidak menunggu selama tiga minggu atau sebulan untuk menerangkan posisi terhadap sesuatu isu. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR : Sebuah pasukan respons Kerajaan Perpaduan berkaitan komunikasi disaran ditubuhkan bagi menangani keresahan masyarakat mengenai informasi yang berlegar pada masa kini.


Ringkasan AI
  • Prof. Sivamurugan Pandian mencadangkan penubuhan pasukan respons komunikasi Kerajaan Perpaduan yang beroperasi 24/7 untuk menangani isu semasa dan keresahan masyarakat secara pantas dan berfakta.
  • Pasukan ini bertujuan menyampaikan kedudukan dan strategi kerajaan secara jelas, agar rakyat tidak terpengaruh dengan maklumat palsu atau spekulasi yang boleh mencetuskan polemik.
  • Beliau menekankan pentingnya komunikasi berasaskan Perlembagaan dan Rukun Negara, serta mencontohi pendekatan era pra-Kemerdekaan seperti Communities Liaison Committee (CLC) dalam menangani isu sensitif secara tertutup dan berhemah.


Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berpendapat pasukan tersebut bertindak untuk menyatakan kedudukan, strategi dan langkah intervensi yang akan diambil berhubung sesuatu isu.

Menurutnya, kerajaan seharusnya tidak menunggu selama tiga minggu atau sebulan untuk menerangkan posisi terhadap sesuatu isu.

Sebaliknya, Sivamurugan berpendapat pasukan responsif seharusnya berkomunikasi selama 24 jam tujuh hari bagi menampakkan kesungguhan untuk menteramkan sesuatu isu yang boleh menjurus kepada polemik.

“Ada kalanya perkara benar menjadi palsu, yang palsu menjadi benar, tetapi jika komunikasi dipertingkatkan, bagaimana kita menyalurkan sesuatu mesej itu dengan isyarat untuk mempertahankan kebenaran.

“Di sebalik apa saja informasi yang mahu disampaikan itu jelas berpandukan kepada fakta, itu akan membolehkan kita bergerak dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa wawancara bersama Astro AWANI dalam segmen Fokus Minggu Depan: Mengurus Kepelbagaian Pandangan Dalam Kerajaan Perpaduan.

Fokus Minggu Depan: Menguruskan kepelbagaian dalam Kerajaan Perpaduan


Sivamurugan juga berpendapat informasi pada masa kini berlegar secara terlalu mudah sehingga melahirkan keraguan dalam kalangan masyarakat.

“Hari ini, informasi sampai dengan mudah, sekelip mata, tetapi jika ada pasukan responsif yang tampil dengan segera untuk memastikan perkara itu tidak berleretan ataupun berlarutan, saya percaya rakyat akan mengadili pentadbiran dengan sebaiknya,” ujarnya lagi.

Tambah beliau lagi, tindakan itu wajar agar informasi tidak dihadam secara emosi namun menggunakan pemikiran yang waras dan rasional berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Penganalisis politik itu juga mengambil contoh pada era pra-Kemerdekaan apabila Communities Liaison Committee diwujudkan untuk menangani isu sensitif melibatkan kaum dan agama.

“CLC diguna pakai sebagai usaha untuk mententeramkan dan memastikan isu-isu yang dianggap sensitif itu dibincangkan dalam kerangka tertutup dan mencari jalan penyelesaian,” katanya lagi.







#Kerajaan Perpaduan #komunikasi #pasukan respons #Sivamurugan Pandian