NATIONAL
Kerajaan diseru bantu PKS bukan pengeksport
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng berkata, ini kerana majoriti besar PKS negara ini beroperasi dalam sektor perkhidmatan di peringkat domestik. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Kerajaan diseru membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bukan pengeksport yang turut terkesan akibat tarif diumumkan Amerika Syarikat (AS).
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng berkata, ini kerana majoriti besar PKS negara ini beroperasi dalam sektor perkhidmatan di peringkat domestik seperti makanan dan minuman (F&B), peruncitan, logistik dan pembinaan.
"Perusahaan-perusahaan ini juga akan menerima kesan yang amat besar.
"Ini kerana kos input akan meningkat, rantaian bekalan akan menjadi ketat dan perbelanjaan pengguna akan semakin menyusut angkara tarif ini," katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Beliau mengulas mengenai langkah kerajaan yang bersetuju meningkatkan jaminan kerajaan sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).
Ia khusus untuk membantu pengeksport perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat tarif Amerika Syarikat (AS) bagi mendapatkan pinjaman daripada bank komersial.
Kata Ng, langkah itu disifatkan sangat baik namun perhatian juga perlu diberikan kepada PKS bukan bukan pengeksport.