Kerajaan fokus dakwah berimpak tinggi pada 2026, tumpu isu keluarga dan sosial

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata sepanjang tahun ini, lebih 3,000 program dakwah berjaya dilaksanakan dan ia adalah satu pencapaian yang hebat. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Kerajaan akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan program dakwah berimpak tinggi pada tahun depan dengan penekanan khusus kepada pembinaan institusi kekeluargaan, adab dalam penggunaan media sosial serta langkah menangani isu sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata sepanjang tahun ini, lebih 3,000 program dakwah berjaya dilaksanakan dan ia adalah satu pencapaian yang hebat.
"Insya-Allah untuk 2026, kita tidak mahu melihat kepada kuantiti program (dakwah). Tidak kisah kalau jumlahnya sedikit sekalipun, tetapi yang penting program (yang dilaksanakan) memberi impak.
"Kita ingin melahirkan masyarakat MADANI yang bukan sahaja ada ilmu pengetahuan tetapi yang paling penting adab," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Dakwah Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) dan Penutupan Program Dakwah Negara (PDN) 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata usaha mendidik masyarakat agar beradab dalam penggunaan media sosial sememangnya perlu diberi penekanan kerana terdapat kecenderungan untuk berkongsi masalah di platform berkenaan.
"Kita harap dakwah yang YADIM bawa nanti termasuk juga bagaimana untuk mendidik masyarakat khususnya dalam kalangan pasangan (suami isteri). Tidak (boleh) menggunakan media sosial untuk mengaibkan pasangan masing-masing, sebab ia tidak menyelesaikan masalah," katanya.
Mohd Na'im berkata kerajaan melalui YADIM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga akan terus melaksanakan program dakwah berfokus kepada kumpulan sasaran termasuk dalam isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
"JAKIM memang ada program khusus untuk mendidik golongan LGBT, cuma saya ingin sebut yang kini semua pihak dan institusi agama berperanan menjalankan tanggungjawab untuk mewujudkan program berkaitan," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


