KUALA LUMPUR: Kerajaan menggesa kepada lebih banyak penglibatan dan sumbangan daripada golongan belia dalam membentuk masa depan Malaysia dengan memberi penekanan kepada inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata berdasarkan golongan belia adalah pemimpin masa depan negara, mereka perlu bersuara dalam pembangunan inisiatif kemampanan dan menjadi sebahagian daripada agenda hijau untuk memberi impak positif kepada masa depan Malaysia.

"Dengan semangat, sokongan dan keupayaan mereka untuk inovasi, golongan belia mempunyai kuasa untuk mengubah cabaran iklim menjadi batu loncatan ke arah masa depan yang lebih berdaya tahan.

"Komitmen mereka yang berterusan akan memacu penyelesaian transformatif yang diperlukan untuk mendepani arus perubahan," katanya dalam ucaptama pada Forum Kemampanan Belia 2023, di sini semalam.

Hanifah berkata kementeriannya selaku penyelaras induk pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di Malaysia memainkan peranan penting dalam memberi pendedahan kepada semua pihak terutamanya berkaitan polisi melibatkan SDG.

"Dalam masa terdekat ini, Kementerian Ekonomi dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk pihak swasta dan badan bukan kerajaan akan melaksanakan pelbagai program kesedaran bagi memastikan seluruh rakyat Malaysia memahami istilah pembangunan mampan dan diterjemahkan dalam aktiviti harian," katanya kepada pemberita selepas forum tersebut.

Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata menerima kemampanan bukan lagi satu pilihan tetapi satu kemestian dan syarikat perlu mematuhi Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia 2021.

"Syarikat yang mengabaikan kemampanan atau pertimbangan ESG dalam strategi dan operasi perniagaan tidak akan mampan dan tidak mendapat pembiayaan ekuiti dan hutang untuk membiayai projek mereka," katanya dalam ucapan bertajuk "Sustainability and Pathways to Net Zero: A Corporate Leaders Perspective".

Beliau berkata syarikat yang tidak mematuhi pematuhan ESG akan menghadapi kesukaran untuk mengambil tenaga kerja yang diperlukan untuk memacu perniagaan mereka.

"Mereka juga tidak akan dapat menjual produk mereka atau menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global berikutan pelanggan menjadi lebih bijak dalam membeli hanya produk mampan pada masa depan," katanya.

Beliau berkata Bursa Malaysia telah melancarkan Bursa Carbon Exchange (BCX) pada Disember 2022 untuk membolehkan syarikat memperdagangkan kredit karbon sukarela daripada projek mesra iklim dan penyelesaiannya dengan tujuan untuk mengimbangi jejak pelepasan dan mencapai matlamat iklim.

"BCX adalah bursa karbon patuh Syariah pertama di dunia dan memenuhi kedua-dua prinsip Syariah dan ESG," katanya.

-- BERNAMA