TELUPID: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) meneruskan Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (Pantas), bagi menyelesaikan kerja-kerja pengukuran tanah adat negeri (NCR) di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, kerajaan negeri komited untuk terus memberi tumpuan kepada pengeluaran geran tanah kepada rakyat di Sabah, kerana usaha itu menjangkau soal kehidupan masyarakat negeri ini tanpa mengira suku bangsa, anutan mahupun fahaman politik.

"Program Pantas yang telah dilaksanakan sejak tahun 2011, kini diteruskan oleh kerajaan GRS-BN kerana menyedari kepentingan pengeluaran geran tanah kepada rakyat di negeri ini, khususnya anak negeri di luar bandar, termasuk di daerah Telupid.

"Pendekatan untuk meneruskan Program Pantas ini juga, untuk memastikan pengeluaran geran berstatus anak negeri (NT) untuk tanah NCR yang sudah lama diduduki dapat dipercepatkan, bagi mengatasi kelewatan dalam proses permohonan biasa sebelum ini," katanya pada majlis penyerahan geran tanah Telupid di sini hari ini.

Hajiji berkata kerajaan negeri mahu agar proses pengeluaran geran tanah tersebut diperkasa dan diperhebatkan lagi pada tahun ini.

"Pada tahun lepas (2021), kerajaan negeri telah berjaya mengukur tanah untuk golongan anak negeri dengan jumlah keluasan 15,511.52 hektar, dan mewartakan sebanyak 80 kawasan sebagai Tanah Simpanan Perkampungan Khas," katanya.

Hajiji turut menyerahkan sebanyak 181 geran tanah NT melibatkan keluasan 523.78 hektar dan warta simpanan kampung iaitu Tapak Kediaman Anak Negeri Kampung Telupid Batu 4, seluas 81.47 hektar.

Pada majlis itu juga, Hajiji melancarkan Buku Kajian Pelan Pembangunan Daerah Telupid (Aspirasi Daerah Telupid (2022-2030), yang mana beliau yakin pelan itu akan membantu memacu kemajuan dan pembangunan daerah itu, dan buku kajian itu akan digunakan oleh pemimpin setempat sebagai panduan dalam pembangunan Telupid.

Ketika merasmikan bangunan baharu Pejabat Majlis Daerah Telupid pada majlis sama, Hajiji berharap Majlis Daerah Telupid meningkatkan usaha secara proaktif untuk meningkatkan hasil dan memastikan semua usaha akan tertumpu kepada memacu pembangunan Telupid.

Beliau turut menekankan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), hanya akan kekal sebagai dokumen jika pelan itu tidak diterjemahkan semua isi kandungannya dalam bentuk tindakan.

"Setakat ini, saya gembira kerana kita telah mencapai banyak kejayaan dalam tempoh setahun selepas melancarkan Hala Tuju SMJ, dengan berjaya menarik beberapa pelaburan mega dan banyak lagi kini dalam proses pelaksanaan," katanya.

Pada majlis itu, Hajiji turut meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta, untuk membina Dewan Masyarakat Daerah Telupid yang baharu.

-- BERNAMA