[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Kerajaan hantar permohonan tambah kuota haji - Mohd Na'im

Bernama 18/09/2025 | 14:00 MYT
Mohd Na'im berkata surat rasmi mengenai permohonan itu telah dihantar kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah dan setakat ini jumlah kuota haji untuk Malaysia masih kekal sebanyak 31,600. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Malaysia telah menghantar permohonan kepada kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan tambahan kuota jemaah haji bagi musim haji tahun hadapan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar.

Mohd Na'im berkata surat rasmi mengenai permohonan itu telah dihantar kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah dan setakat ini jumlah kuota haji untuk Malaysia masih kekal sebanyak 31,600.

"Saya telah memberi surat rasmi kepada Menteri Haji Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah memohon untuk mendapatkan kuota tambahan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Tamat Operasi dan Penghargaan Sahabat Korporat Tabung Haji (TH) Musim Haji 1446H di sini hari ini.

Majlis tersebut yang diadakan sebagai manifestasi penghargaan kepada semua agensi kerajaan, swasta serta Sahabat Korporat yang telah berganding bahu menjayakan Operasi Haji Musim 1446H.

Turut menerima penghargaan pada majlis itu wartawan penyiaran Bernama Radio Nurliyana Farhah Ruslan.

Penghargaan turut diberikan kepada 32 Sahabat Korporat yang menyumbang sebanyak RM7.1 juta dalam pelbagai bentuk bagi membantu meringankan urusan jemaah haji musim itu.

Hadir sama Ketua Konsulat Kedutaan Besar Diraja Arab Saudi Ali Abu Hikmah mewakili Duta Besar Kerajaan Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al Sulaim dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji Tan Sri Abdul Rashid Hussain.

Sementara itu, Mohd Na'im berkata bagi usaha penambahbaikan untuk musim haji seterusnya, TH akan memberikan tumpuan antara lain dalam isu pendigitalan pasport bagi memastikan kelancaran pengurusan haji.

"Kita yakin dengan fokus yang diberikan kepada usaha pendigitalan ini, tempoh untuk pemprosesan pasport itu akan dapat dikurangkan. Kerjasama ini kita akan buat bersama kerajaan Arab Saudi dan Kementerian Haji dan Umrah (Arab Saudi).

"Sebab tu saya tekankan supaya warga kerja Tabung Haji dan pengurusan Tabung Haji memfokuskan kepada proses inovasi serta memperkenalkan inovasi baharu kerana dengan cara inilah kita akan pastikan perjalanan pengurusan Tabung Haji bagi tahun hadapan akan berjalan dengan baik," katanya.

Beliau juga berkata TH telah mengambil langkah melantik syarikat Penyedia Perkhidmatan Haji di Arab Saudi yang baharu demi memastikan jemaah haji mendapat perkhidmatan yang lebih baik dan selesa berbanding sebelumnya.

-- BERNAMA

#permohonan #tambah kuota haji #Arab Saudi #Mohd Na'im Mokhtar