Kerajaan hapus dasar kabotaj bermula 1 Jun - PM Najib

Harits Asyraf Hasnan
Mei 7, 2017 02:34 MYT
Najib berkata, penghapusan dasar kabotaj itu mampu mengurangkan harga barang di Sabah, Sarawak dan Labuan. - Foto Sabah Ports
Kerajaan mengumumkan penghapusan dasar kabotaj aktiviti perkapalan antara Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak dan Labuan bermula 1 Jun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ia turut melibatkan aktiviti perkapalan dalam negeri Sabah, Sarawak dan Labuan.
Bagaimanapun, beliau berkata pengecualian itu tidak terpakai terhadap aktiviti perkapalan di antara dua negeri dan wilayah di Malaysia Timur itu.
"Maknanya, dari mana-mana pelabuhan di Semenanjung Malaysia ke mana-mana pelabuhan di Sabah, Sarawak dan Labuan dan sebaliknya. Di antara pelabuhan di dalam negeri Sabah dan di antara pelabuhan di negeri Sarawak.
"Walau bagaimanapun, pengecualian ini tidak terpakai kepada kapal-kapal yang beroperasi di antara negeri Sabah, Sarawak dan Labuan.
"Jadi maknanya, tiada lagi apa-apa yang boleh kita katakan harga barang naik di Sabah ini, kita kecualikan penguatkuasaan dasar kabotaj ini," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Program Ekspresi Negaraku di Padang Bandaran Sandakan di sini hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan (MOT) bersetuju membincangkan semula dasar kabotaj di Sabah sebagai usaha untuk membantu pertumbuhan ekonomi negeri itu.
Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kerajaan Persekutuan akan sentiasa peka terhadap keperluan Sabah, dengan menyediakan persekitaran ekonomi terbaik untuk itu.
#caj #Dasar Kabotaj #kargo #Labuan #Malaysia Timur #pelabuhan #Sabah #Sarawak