Kerajaan jamin tiada kenaikan kos bina Pusat Subfertiliti Negara

Noraini berkata setakat ini pihaknya difahamkan tiada kenaikan kos pembinaan dilaporkan, sekali gus tiada penambahan peruntukan terhadap pelaksanaan yang kini berjalan lancar. - Gambar KPWKM
KUALA SELANGOR: Kerajaan memberi jaminan peruntukan kos pembinaan Pusat Subfertiliti Negara di Seksyen 17, Shah Alam kekal bernilai RM171 juta meskipun berlaku kenaikan harga bahan binaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Noraini Ahmad berkata setakat ini pihaknya difahamkan tiada kenaikan kos pembinaan dilaporkan, sekali gus tiada penambahan peruntukan terhadap pelaksanaan yang kini berjalan lancar.
"Kos pembinaan pusat berkenaan kekal seperti diluluskan sebelum ini dan ia tidak terjejas meskipun terdapat kenaikan harga bahan binaan di pasaran. Projek itu dijangka siap dan beroperasi menjelang 2029.
"Pelaksanaan projek di bawah kementerian itu menjadikan hospital (pusat subfertiliti) berkenaan sebagai pusat khusus mengenai kesuburan di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)," katanya ketika ditemui di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam di sini hari ini.Beliau berkata projek itu antara langkah strategik kerajaan menangani isu kadar kesuburan yang semakin menurun dalam kalangan rakyat Malaysia, selain menyediakan kemudahan rawatan lebih komprehensif untuk pasangan yang menghadapi masalah mendapatkan zuriat.
Pada masa sama, Noraini memaklumkan LPPKN turut menyediakan pelbagai subsidi dan kemudahan bagi pasangan yang ingin mendapatkan rawatan termasuk program penilaian kesuburan serta bantuan untuk rawatan seperti kaedah rawatan persenyawaan in-vitro (IVF).
"Program seperti itu bukan sahaja membantu pasangan berdepan cabaran mendapatkan anak tetapi juga menyokong usaha kerajaan memperkukuh institusi keluarga dan kesejahteraan masyarakat," katanya.
Pada Ogos lepas, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan indeks harga seunit simen meningkat antara 0.1 hingga 1.1 peratus berbanding bulan sebelumnya, namun peningkatan kecil itu tidak memberi kesan kepada kos keseluruhan projek.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami