MALAYSIA

Kerajaan jana RM7.88 bilion pelaburan hijau, cipta lebih 2,000 pekerjaan pada 2024

Bernama 04/11/2025 | 06:55 MYT
Johari berkata jumlah itu disumbang oleh inisiatif GITA, GTFS 4.0, serta penganjuran IGEM. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Sejumlah RM7.88 bilion nilai pelaburan hijau berjaya dijana pada 2024 menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).


Ringkasan AI
  • RM7.88 bilion nilai pelaburan hijau berjaya dijana pada 2024 melalui inisiatif Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
  • Lebih daripada 2,000 peluang pekerjaan hijau dicipta pada tahun 2024, menyumbang kepada hampir 34,000 peluang pekerjaan dalam sektor berkenaan secara kumulatif.
  • Cabaran utama termasuk akses pembiayaan untuk PKS dan kekurangan tenaga mahir dalam sektor teknologi hijau tempatan menurut Menteri NRES, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.


Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menanggung tugas sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata jumlah itu disumbangkan oleh inisiatif Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA), Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) 4.0 serta penganjuran Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM).

Beliau berkata inisiatif itu turut menyumbang kepada penciptaan lebih daripada 2,000 peluang pekerjaan hijau pada 2024 manakala secara kumulatif, sektor berkenaan telah mewujudkan hampir 34,000 peluang pekerjaan setakat ini.

"Bagi jumlah 2004 itu, sumbangan termasuk komitmen pelaburan yang diraih menerusi siri IGEM sejak 2020 yang berjaya menjana lebih RM10 bilion potensi pelaburan hijau setakat ini," katanya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) mengenai pencapaian sasaran nilai penjanaan pelaburan hijau, bilangan peluang pekerjaan hijau bagi 2024 sepertimana dinyatakan dalam Pelan Strategik NRES 2024-2030 serta cabaran utama yang dihadapi untuk mencapai sasaran berkenaan.

Johari berkata pencapaian itu sejajar dengan sasaran pelan strategik berkenaan yang memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi hijau, tenaga boleh baharu dan peralihan ke arah industri rendah karbon.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Samsuri mengenai kerjasama NRES dengan kementerian lain bagi memastikan pencapaian dilaporkan tidak hanya tertumpu kepada angka-angka menarik, Johari tidak menafikan mengenai cabaran utama yang perlu diatasi.

Menurutnya, ini termasuk akses pembiayaan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta kekurangan tenaga mahir dalam sektor teknologi hijau tempatan.

"Saya akui salah satu kebimbangan kita adalah akses kepada pembiayaan. Kerajaan boleh membiayai dari segi projek-projek berskala kecil, tapi kalau skala besar, (projek) ini mesti ada nilai ekonomi," katanya.

Beliau berkata nilai sedemikian akan turut menarik pihak bank yang boleh menawarkan pembiayaan besar untuk turut sama terlibat.

"(Sebaliknya) apa yang berlaku hari ini adalah kita berdepan masalah yang mana syarikat-syarikat kecil dan sederhana tidak mendapat akses pembiayaan hijau ini," katanya.

-- BERNAMA



Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Berapakah nilai pelaburan hijau yang berjaya dijana pada tahun 2024?
    A: Sejumlah RM7.88 bilion nilai pelaburan hijau berjaya dijana pada 2024.
  • Q: Berapakah jumlah peluang pekerjaan hijau yang dicipta pada tahun 2024?
    A: Lebih daripada 2,000 peluang pekerjaan hijau telah dicipta pada 2024.
  • Q: Apakah inisiatif yang menyumbang kepada penciptaan peluang pekerjaan hijau?
    A: Inisiatif seperti Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) 4.0 turut menyumbang kepada penciptaan peluang pekerjaan hijau.
  • Q: Apa sumbangan potensi pelaburan hijau yang diraih menerusi siri IGEM sejak 2020?
    A: Siri IGEM sejak 2020 berjaya menjana lebih RM10 bilion potensi pelaburan hijau setakat ini.
  • Q: Apa cabaran utama yang dihadapi dalam mencapai sasaran pelan strategik NRES?
    A: Cabaran utama termasuk akses pembiayaan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta kekurangan tenaga mahir dalam sektor teknologi hijau tempatan.



#JOHARI ABDUL GHANI #Dewan Rakyat #pelaburan hijau #NRES