KUALA NERUS: Kerajaan sedang mengkaji penggunaan gabungan vaksin AstraZeneca dan Pfizer-BioNTech dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), kata Khairy Jamaluddin.

Beliau yang juga Menteri Penyelaras PICK, berkata cadangan itu sudah dibentangkan kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dua minggu lalu.

"Ia masih lagi dalam kajian kita... dibentangkan di JKJAV dua minggu lepas, tetapi belum lagi dimuktamadkan oleh kumpulan kerja teknikal kita," katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Gong Badak di sini, pada Khamis.

Terdahulu, Khairy dilaporkan berkata, kerajaan mempertimbangkan kaedah 'mix and match' kedua-dua vaksin berkenaan bagi melengkapkan dua dos pelalian.

"Kita memiliki beberapa data 'real-world' yang diterima dari Jerman mengenai vaksinasi heterologi menggunakan AstraZeneca bagi dos pertama dan Pfizer untuk dos kedua, yang telah terbukti meningkatkan peneutralan antibodi dan menjadi lebih efektif terhadap varian," katanya dilaporkan Malaysiakini menerusi webinar yang dihoskan oleh Oxford and Cambridge Society of Malaysia pada Rabu.

Menurut Khairy, kerajaan tidak tergesa-gesa untuk membuat keputusan tersebut sebelum mendapatkan lebih banyak data, namun katanya kerajaan optimis terhadap kaedah tersebut.

"Ada kemungkinan kita akan laksanakan kerana banyak negara sudah melakukannya untuk meningkatkan peneutralan antibodi dan keberkesanan.

"Tambahan pula ketika ini, kita sedang menghadapi masalah bekalan vaksin, jadi boleh mencampurkan kedua-duanya untuk mendapatkan kesan," katanya.

Media pada awal bulan ini, melaporkan data awal yang dilakukan penyelidik Jerman mendapati peningkatan tindak balas imun setelah memberikan campuran vaksin AstraZeneca dan Pfizer kepada 26 orang.

Ujian serupa dibuat di Sepanyol membabitkan 600 orang juga mendapati bahawa campuran yang sama mencetuskan tindak balas imun yang kuat terhadap COVID-19.