KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk meminda perundangan maritim negara, termasuk mempertimbangkan hukuman lebih berat terhadap kesalahan pencemaran marin menerusi semakan menyeluruh yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Semakan dan Pembaharuan Undang-Undang Maritim Malaysia (MLRRC).
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata jawatankuasa itu akan menyemak keberkesanan perundangan maritim sedia ada serta mengenal pasti keperluan pindaan dan penambahbaikan berkaitan keselamatan pelayaran, perlindungan alam sekitar marin serta pencemaran yang berpunca daripada kapal.
Beliau berkata semakan itu penting bagi memastikan rangka kerja perundangan maritim negara kekal relevan, responsif dan selaras dengan perkembangan semasa serta obligasi Malaysia di bawah konvensyen antarabangsa.
"Hasil kajian MLRRC akan menjadi asas kepada kerajaan dalam mempertimbangkan cadangan pindaan terhadap perundangan berkaitan, termasuk bagi memperkukuh aspek pencegahan pencemaran marin, kesiapsiagaan dan tindak balas terhadap insiden, serta mekanisme liabiliti dan pampasan bagi memastikan perlindungan alam sekitar marin negara terus dipertingkatkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) yang ingin mengetahui keberkesanan pelan tindakan serta penguatkuasaan kawalan pencemaran marin negara.
Hasbi berkata selain aspek perundangan, kerajaan turut memperkukuh mekanisme pengurusan pencemaran marin melalui semakan berkala terhadap Pelan Kontingensi Tumpahan Minyak Malaysia, pemantapan prosedur operasi, peningkatan koordinasi antara agensi, pelaksanaan latihan dan simulasi secara berterusan serta pengukuhan keupayaan tindak balas negara terhadap insiden pencemaran marin.
Beliau berkata kerajaan akan terus menilai keperluan penambahbaikan dasar, perundangan dan mekanisme pelaksanaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengurusan pencemaran marin negara sentiasa berkesan, cekap dan selaras dengan perkembangan sektor maritim serta amalan antarabangsa.
-- BERNAMA