[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Kerajaan kaji perluas skop RUU Tribunal Antibuli kepada semua peringkat umur - Azalina

Bernama 19/09/2025 | 11:10 MYT
Azalina berkata perkara itu timbul hasil maklum balas yang diterima daripada beberapa sesi dialog awam Antibuli dan portal Peta Reformasi Institusi (PetaRI). - Gambar fail
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan sedang meneliti cadangan supaya Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Anti-Buli diperluas kepada semua peringkat umur dan tidak hanya memfokus kepada golongan bawah 18 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata perkara itu timbul hasil maklum balas yang diterima daripada beberapa sesi dialog awam Antibuli dan portal Peta Reformasi Institusi (PetaRI).

Beliau berkata majoriti menggesa agar skop RUU itu lebih terbuka memandangkan kes buli bukan sahaja berlaku di sekolah tetapi turut dilaporkan di institusi pengajian tinggi, maktab polis dan tentera.

"Jika dibuka kepada semua peringkat umur, ia tidak hanya melibatkan Kementerian Pendidikan tetapi juga yang lain termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi, institusi pengajian awam dan swasta malah maktab tentera serta polis kerana elemen buli turut berlaku di situ.

"Setakat ini, memang banyak respons yang mahu melihat ia lebih terbuka... tidak hanya tertumpu kepada golongan bawah 18 tahun... tetapi perkara itu masih dalam kajian," katanya kepada pemberita selepas sesi Dialog Awam Antibuli Peringkat Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata RUU berkenaan, yang sedang dirangka oleh kerajaan, diharap dapat mengurangkan kes buli di Malaysia.

Mengambil contoh Tribunal Gangguan Seksual, beliau berkata mekanisme tribunal memberi ruang penyelesaian aduan yang lebih pantas sekali gus meningkatkan kesedaran masyarakat serta mengurangkan jumlah laporan kes.

"Dengan adanya tribunal ini, pelaku akan berfikir banyak kali sebelum bertindak kerana mereka tahu sistem itu laju... kemungkinan (kes) akan berkurangan, insya-Allah," katanya.

Dalam pada itu, Azalina turut menggalakkan orang ramai yang tidak dapat menghadiri sesi dialog awam untuk berkongsi pandangan secara dalam talian melalui portal PetaRI, yang menyediakan ruangan komen, kritikan dan cadangan untuk memperkukuh draf RUU tersebut.

Sebelum ini, beliau berkata RUU Tribunal Anti-Buli dijangka dibentang di Parlimen pada Oktober ini selepas selesai sesi penerangan atau jelajah serta mendapat kelulusan Jemaah Menteri.

Azalina berkata sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan dijangka selesai bulan ini sebelum kertas cadangan dimajukam kepada Kabinet.

-- BERNAMA




#Azalina Othman Said #Akta Antibuli #umur #Tribunal Anti-Buli