Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Kerajaan kaji semula sasaran TMM2026 susulan prestasi kukuh ketibaan pelancong

Bernama 20/11/2025 | 13:15 MYT
Tiong semasa sidang media selepas majlis MoU antara RWG dan Tourism Malaysia sempena TMM2026 di sini hari ini. - Gambar Bernama
GENTING HIGLANDS: Kerajaan sedang meneliti semula sasaran kedatangan pelancong bagi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) susulan prestasi kukuh sektor pelancongan negara.


Ringkasan AI
  • Kerajaan meneliti semula sasaran kedatangan pelancong bagi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) susulan prestasi kukuh sektor pelancongan negara, dengan menilai semula sasaran awal 35.6 juta pelancong setelah jumlah ketibaan pelancong melepasi jangkaan pada tahun lepas dengan 38 juta pelancong.
  • Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, berharap mencapai lebih 40 juta pelancong bagi TMM2026, dan meminta sokongan semua pihak serta menekankan perlunya sokongan untuk memastikan keadilan dalam model pengguna bayar bagi jalan tol Genting Highlands.
  • Tiong menekankan keperluan penyelenggaraan rapi jalan tol Genting disebabkan bentuk muka bumi berbukit dan risiko hakisan, sambil meminta agar kumpulan tertentu seperti pekerja dan penunggang motosikal dikecualikan daripada bayaran tol bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara serta memahami keperluan pelaksanaan tol tersebut.


Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata kementerian sedang menilai semula sasaran awal sebanyak 35.6 juta pelancong selepas jumlah ketibaan pelancong pada tahun lepas telah melepasi jangkaan dengan 38 juta pelancong.

"Jadi tahun ini, kami mahu melakukan lebih banyak usaha dan berharap dapat mencapai lebih 40 juta (pelancong). Jadi, kami perlukan sokongan semua pihak. Kami sememangnya mahu menyemak semula angka itu tetapi ketika ini kami masih menelitinya," katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Resorts World Genting (RWG) dan Tourism Malaysia sempena TMM2026 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Tourism Malaysia P. Manoharan dan Naib Presiden Eksekutif Jualan Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG Spencer Lee.

Tiong ketika menjawab pertanyaan mengenai isu tol Genting Highlands berkata jalan menuju ke kawasan tanah tinggi itu dimiliki dan disenggara oleh pihak swasta.

"Bagi kemampanan, saya fikir tiada pilihan lain selain melaksanakannya (tol). Ini adalah kerana pada masa ini, saya lihat banyak pembangunan di kiri dan kanan jalan tetapi itu bukan milik Kumpulan Genting," katanya, sambil menambah pembangunan baharu itu tidak menyumbang kepada penyelenggaraan jalan.

Beliau berkata model pengguna bayar yang dilaksanakan bertujuan memastikan keadilan.

"Kami sudah mengeluarkan kontrak. Kami kata 'pengguna bayar', itu lebih berbaloi tetapi saya dimaklumkan oleh pihak Genting dan perkara paling penting ialah kita mesti menjadi hakim yang sangat adil bagi memastikan ia tidak menjadi entiti awam seperti PLUS atau mana-mana tol lain," katanya.

Tiong berkata jalan itu memerlukan penyelenggaraan rapi disebabkan bentuk muka bumi berbukit dan risiko hakisan, dan pengendali sentiasa pantas serta proaktif menjalankan kerja pembaikan bagi memastikan laluan itu boleh digunakan.

Beliau turut meminta agar kumpulan tertentu seperti pekerja dan penunggang motosikal dikecualikan daripada bayaran tol supaya mereka tidak terbeban, dan menggesa rakan niaga turut memastikan kebajikan kakitangan mereka terpelihara.

"Saya sudah maklumkan kepada mereka (pihak pengurusan) mereka mesti menjaga kebajikan mereka dan tidak patut mengenakan bayaran (kepada pekerja). Mereka juga bersetuju untuk tidak mengenakan bayaran kepada motosikal," katanya, sambil menambah peningkatan jumlah kenderaan termasuk kenderaan berat menyumbang dengan ketara kepada kenaikan kos penyelenggaraan jalan.

"Saya berharap semua pihak memahami kenapa mereka melaksanakan tol itu," katanya.

-- BERNAMA


#sektor pelancongan #Tourism Malaysia #Genting Highlands #TMM2026