Skip to main content

Malaysia

Kerajaan Kedah sedia bina perumahan terancang di Bukit Malut

LANGKAWI, 24 Jun -- Rakaman gambar tinjauan udara dari pesawat TUDM di sekitar kawasan perumahan Bukit Malut Langkawi yang dipercayai menjadi tempat tinggal pendatang tanpa izin ketika Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) melakukan tinjauan hari ini. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
Media melaporkan, penduduk Bukit Malut berharap pelbagai persepsi negatif yang sekian lama dikaitkan dengan penempatan mereka dihentikan. - Gambar/ Bernama
Advertisement

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah bersedia untuk membangunkan perumahan terancang untuk penduduk Bukit Malut, Langkawi, bagi menyelesaikan isu penempatan di kawasan itu.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata projek itu boleh dibangunkan oleh anak syarikat kerajaan negeri sekiranya Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat pengambilan tanah di kawasan berkenaan.

"Kalau buat pengambilan (tanah), MKN boleh buat pengambilan, anak syarikat kerajaan negeri boleh bangunkan rumah. Mereka (penduduk) sedia membeli, cuma harga kena dalam kadar bawah RM200,000," katanya pada sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

Beliau berkata setakat ini terdapat kira-kira 1,300 rumah dibina secara tidak terancang, termasuk di atas air sehingga menyukarkan penyaluran bantuan sewajarnya untuk masyarakat di situ.

Baru-baru ini Bernama melaporkan penduduk Bukit Malut berharap pelbagai persepsi negatif yang sekian lama dikaitkan dengan penempatan mereka dihentikan, termasuk dakwaan bahawa kawasan itu menjadi lokasi pendaratan dan penempatan pelarian dari Myanmar.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement