MALAYSIA

Kerajaan Kelantan bantu lebih 10 individu LGBT kembali ke pangkal jalan

Sinar Harian 02/08/2025 | 04:50 MYT
Mohd Asri (tengah) beramah mesra dengan kepimpinan dari KAWAT dalam satu majlis makan malam di Kota Bharu pada Jumaat. Foto Sinar Harian HAZELEN LIANA KAMARUDIN.
KOTA BHARU: Lebih 10 individu dalam kalangan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) telah menunjukkan perubahan positif dan kembali ke pangkal jalan menerusi usaha dakwah berterusan yang digerakkan oleh Kerajaan Kelantan sejak tahun 2019.


Ringkasan AI
  • Sejak 2019, lebih 10 individu LGBT menunjukkan perubahan positif hasil pendekatan dakwah tertutup oleh Kerajaan Kelantan melalui kelas fardu ain dan pengajian al-Quran secara berkala, tanpa publisiti bagi menjaga sensitiviti dan keberkesanan pendekatan.
  • Exco Mohd Asri Mat Daud menegaskan pendekatan tidak dihebahkan lebih menyentuh hati golongan terlibat, dengan hasilnya ada yang kini mampu membaca al-Quran walaupun sebelum ini tidak boleh.
  • Susulan serbuan perjumpaan santai golongan gay di Kemumin, Polis Kelantan akan berbincang dengan Jaheaik untuk menyelaraskan tindakan dan menangani isu sensitif secara bersepadu.


Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, pendekatan mendidik golongan itu dilakukan secara tertutup melalui penganjuran kelas fardu ain dan pengajian al-Quran secara berkala.

Menurut beliau, kerajaan negeri mengambil langkah untuk tidak menghebahkan program tersebut kepada umum bagi menjaga sensitiviti dan emosi golongan terlibat serta memastikan dakwah dapat disampaikan secara berkesan.

"Ada program yang kita tidak hebohkan kepada rakyat kerana kita nak menjaga mereka. Kalau kita dedahkan, mereka mungkin rasa tidak selesa atau menjauhkan diri.

"Dalam dakwah ada dua pendekatan: satu boleh diumumkan, satu lagi tidak. Pendekatan yang tidak dihebahkan ini lebih berkesan kerana kita dapat menyentuh hati mereka tanpa tekanan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Kelab Media Kelantan Darulnaim (KEMUDI) bersama Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) di sini malam Jumaat.

Mohd Asri memberitahu, kerajaan negeri lebih menekankan kesan berbanding publisiti terbuka dan hanya berhubung secara langsung dengan pihak yang terlibat.

Ujarnya, hasil daripada usaha tersebut, ada antara mereka yang sebelum ini tidak boleh membaca al-Quran kini sudah boleh membacanya.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan ini lebih berjaya berbanding menghebohkan atau membuat promosi secara besar-besaran.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa Polis Kelantan akan mengadakan pertemuan dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) dalam masa terdekat bagi membincangkan langkah susulan berhubung penganjuran perjumpaan santai golongan gay yang diserbu di sebuah banglo di Kemumin, bulan lalu.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, perbincangan itu bertujuan menyelaraskan tindakan serta memastikan semua pihak berautoriti berada pada landasan yang sama dalam menangani isu-isu yang menyentuh sensitiviti masyarakat. - Sinar Harian






#Kelantan #LGBT #operasi polis #Mohd Asri Mat Daud