[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

Kerajaan Kelantan beri jaminan bekalan air mencukupi ketika Aidilfitri

Bernama 26/03/2025 | 14:15 MYT
Mohamed Fadzli berkata pengguna yang terjejas boleh menghubungi AKSB bagi mendapatkan bantuan bekalan air. - Gambar fail/Astro AWANI
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan memberi jaminan bahawa bekalan air bagi penduduk negeri untuk kegunaan semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah mencukupi.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata kerajaan negeri telah melakukan persiapan rapi termasuk mengambil langkah untuk mengatasi sebarang kemungkinan gangguan bekalan air.
"Kita sedia maklum bahawa kepulangan anak perantau semasa musim perayaan akan memberi kesan kepada bekalan air di negeri ini.
"Oleh itu sebagaimana tahun-tahun lepas, kita telah membuat persiapan tambahan bagi memastikan kelancaran bekalan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Beliau berkata antara langkah yang diambil adalah menyediakan pelan sokongan sekiranya berlaku gangguan bekalan air, termasuk menambah bilangan lori tangki untuk penghantaran air.
Mohamed Fadzli berkata pengguna yang terjejas boleh menghubungi Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi mendapatkan bantuan bekalan air.
-- BERNAMA
#bekalan air #Hari Raya Aidilfitri #musim perayaan #AKSB