[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

Kerajaan Kelantan tidak pertahan pelaku kes kematian pelajar tahfiz

Sinar Harian 23/04/2025 | 10:16 MYT
Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, pihaknya membuka ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan.
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sama sekali tidak akan mempertahankan individu yang didapati bersalah sehingga menyebabkan kematian pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, 12 tahun lalu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, pihaknya membuka ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan.
"Kita simpati dengan keluarga dan menyerahkan kepada pihak berkuasa, termasuk polis, untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan," katanya semasa sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini pada Rabu.
Menurutnya, Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan kerajaan negeri sentiasa memberikan kerjasama penuh untuk siasatan.
"Ujarnya, pintu siasatan dibuka 24 jam untuk kes berkenaan.
"Yang bersalah, kita tidak pertahankan," katanya.
Pada 12 Disember 2013, mayat pelajar Tingkatan Empat, Wan Ahmad Faris, 16, ditemui tergantung di dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Kok Lanas, di sini.
Mahkamah Koroner Kota Bharu pada Jun 2016 memutuskan bahawa kematian pelajar itu berpunca daripada perbuatan individu tidak dikenali, sekali gus menolak kemungkinan dia membunuh diri.
Susulan keputusan itu, keluarga Allahyarham telah melakukan pelbagai usaha, termasuk menghantar surat rayuan kepada Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia dan Perdana Menteri. - Sinar Harian
#Kelantan #kes bunuh #pelajar tahfiz #Wan Roslan Wan Hamat