PUTRAJAYA: Kerajaan terus komited untuk memberi fokus kepada usaha mengurangkan kadar kemiskinan negara susulan penularan wabak COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, usaha itu akan dilakukan menerusi kajian lapangan secara langsung bagi mendapatkan data yang tepat dan berkesan.

Beliau berkata, perkara itu dibuat susulan jangkaan kadar kemiskinan negara akan meningkat berdasarkan hasil kajian yang dijalankan tahun ini.

Menurut beliau, berdasarkan kajian Pendapatan Isi Rumah (HIS) pada tahun 2019, peratusan kadar kemiskinan bagi tahun itu adalah sebanyak 5. 6 peratus.

Sehubungan itu, beliau berkata, jangkaan kadar peratusan itu mungkin melonjak kepada 8.6 peratus bagi tahun 2020.

“Kajian semakan semula Pendapatan Garis Kemiskinan (GPK) itu dilaksanakan pada 2019 dan ia diumumkan tahun lepas. Ia telahpun dibentangkan kepada Kabinet. Jadi kajian ini tidak merangkumi apa yang berlaku pada 2020.

“Kalau kita lihat pada 2020 iaitu semasa COVID-19 (melanda) dan sekarang, sudah pasti angkanya berbeza.

"Pada 2019, kadar kemiskinan berada pada paras 5.6 peratus ada terdapat anggaran dibuat Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semasa COVID-19 ini, ia mungkin naik tiga peratus iaitu 8.6 peratus,” katanya dalam sidang media Setahun Malaysia Prihatin di sini.

Mustapa berkata, dalam usaha untuk melengkapkan data kemiskinan negara, kerajaan turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

"Banyak sumber mengenai laporan kemiskinan direkodkan pelbagai pihak seperti sumber daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) menerusi e-Kasih, DOSM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Selain itu, data ini turut dikumpul agensi kerajaan lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Kewangan dan MAIWP. Jadi kita akan bekerjasama untuk pastikan data kemiskinan yang diperolehi kelak tepat, katanya.