MALAYSIA

Kerajaan komited laksanakan reformasi institusi tahun ini - Azalina

Astro Awani 05/01/2026 | 07:15 MYT
Azalina menyifatkan detik paling bersejarah adalah kejayaan Malaysia mempertahankan kedaulatan negara dalam kes tuntutan Sulu apabila “Final Award” yang tidak sah dibatalkan sepenuhnya. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI komited untuk melaksanakan reformasi institusi tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menurut Azalina, perkara itu melibatkan beberapa Rang Undang-Undang (RUU) seperti pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau sepuluh tahun, pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta pengenalan Akta Kebebasan Maklumat.

Beliau menambah ia turut merangkumi pengukuhan institusi Ombudsman Malaysia bagi memastikan tadbir urus yang telus, berakauntabiliti dan berteraskan kedaulatan undang-undang.

“Reformasi yang telah dimulakan perlu diperkukuh, diperhalusi dan diterjemahkan secara nyata dalam kehidupan rakyat,” katanya semasa menyampaikan ucap tama di Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di sini hari ini.

Pada masa sama, Azalina menekankan kejayaan BHEUU pada 2025, termasuk memperkukuh reformasi institusi, memperkasa Parlimen, meluaskan akses kepada keadilan, meningkatkan perlindungan kanak-kanak dan golongan rentan, serta memperkemas tadbir urus.

Menurutnya langkah tersebut melibatkan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025, RUU Antibuli 2025, RUU Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025, RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025, RUU Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025 dan banyak lagi.

Beliau menyifatkan detik paling bersejarah adalah kejayaan Malaysia mempertahankan kedaulatan negara dalam kes tuntutan Sulu apabila “Final Award” yang tidak sah dibatalkan sepenuhnya oleh Mahkamah Rayuan di Paris.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa kedaulatan undang-undang, kecekalan institusi dan strategi perundangan yang mantap mampu mempertahankan maruah serta kedaulatan Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya lagi.







#Azalina Othman Said #Kerajaan Madani #Rang Undang-Undang #reformasi institusi