MALAYSIA

Kerajaan komited pastikan hasil cukai diagih adil kepada semua negeri - Lim

Bernama 25/08/2025 | 06:00 MYT
Menurut Lim, projek pembangunan itu meliputi aspek pendidikan, kesihatan, keselamatan, pengangkutan dan sebagainya. -0 Gambar fail/Japen
KUALA LUMPUR: Hasil yang diterima oleh kerajaan Persekutuan disalurkan kembali kepada semua negeri melalui pelaksanaan projek-projek pembangunan kerajaan Persekutuan, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Persekutuan menyalurkan semula hasil cukai kepada semua negeri melalui geran tahunan dan projek pembangunan, selaras dengan Perlembagaan dan keputusan Majlis Kewangan Negara.
  • Antara projek utama termasuk Lebuhraya Pan Borneo, LRT Laluan Mutiara di Pulau Pinang, Empangan Mengkuang dan Central Spine Road, dengan Pulau Pinang menerima peruntukan RM2.5 bilion pada 2025.
  • Kerajaan menegaskan komitmen untuk memastikan negeri seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis turut menerima agihan pembangunan yang adil berdasarkan bilangan penduduk, tahap ekonomi dan kesejahteraan hidup.


Beliau berkata projek pembangunan itu meliputi aspek pendidikan, kesihatan, keselamatan, pengangkutan dan sebagainya.

"Sebagai contoh, pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak, projek membina Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai di Kelantan, Central Spine Road di Pahang dan Kelantan serta projek Landasan Keretapi Berkembar Gemas-Johor Bahru," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Chow Kon Yeow (PH-Batu Kawan) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan Persekutuan akan berkongsi hasil cukai dengan negeri bagi menyokong pembangunan serta program kebajikan dan sosial yang dilaksanakan.

Lim berkata pulangan hasil cukai kepada negeri dibuat melalui mekanisme pemberian tahunan kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri selain peruntukan pembangunan yang diluluskan setiap tahun menerusi belanjawan.

Katanya pemberian ini disalurkan dalam bentuk geran tahunan selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang, keputusan Jemaah Menteri dan keputusan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara.

"Untuk makluman, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang sebanyak RM2.5 bilion pada 2025.

"Antara projek pembangunan yang dilaksanakan di Pulau Pinang ialah Projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang dengan anggaran kos sebanyak RM16.82 bilion, pembesaran Empangan Mengkuang (RM1.2 bilion) serta projek menaik taraf Loji Rawatan Kumbahan dan Pembinaan Rangkaian Paip Pembetungan di Mak Mandin (RM667.0 juta)," katanya.

Katanya pemberian kerajaan Persekutuan kepada Pulau Pinang turut meningkat pada tahun ini sebanyak RM360 juta berbanding RM352 juta pada tahun lepas.

"Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) kepada Pulau Pinang, antara menerima peruntukan terbesar di bawah Pemberian Kerajaan Persekutuan, iaitu sebanyak RM225 juta pada 2025 berbanding RM222 juta pada tahun lepas," katanya.


Menjawab soalan tambahan Chow sama ada kerajaan Persekutuan akan menyemak semula Perlembagaan untuk berkongsi hasil cukai sebanyak 20 atau 30 peratus, Lim berkata kerajaan komited untuk memastikan hasil cukai diagihkan semula kepada semua negeri.

Beliau berkata pengagihan itu dibuat melalui pemberian tahunan dan projek pembangunan yang dibiayai perbelanjaan pembangunan Persekutuan setiap tahun.

Menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai langkah kerajaan memastikan negeri seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis turut menerima agihan pembangunan yang adil, Lim berkata perkara itu diberi perhatian serius.

Beliau menjelaskan agihan dibuat berasaskan formula pengiraan yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan, undang-undang, keputusan Majlis Kewangan Negara dan keputusan Jemaah Menteri.

"Pemberian mengikut bilangan penduduk atau Capitation Grant dihitung mengikut laporan banci penduduk yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, pembayaran MARRIS, penelitian dari segi tahap pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan hidup (Pemberian TAHAP) dan pemberian pertambahan hasil," katanya.

Beliau turut menegaskan kerajaan Persekutuan komited untuk tidak meminggirkan mana-mana negeri, malah sentiasa mengikut formula sedia ada bagi memastikan setiap negeri menerima peruntukan secara adil.

-- BERNAMA




#kutipan cukai #kerajaan Persekutuan #Lim Hui Ying #Dewan Rakyat