MALAYSIA

Kerajaan komited perkukuh kerjasama dengan masyarakat sivil dalam pembangunan negara - Fadillah

Bernama 11/12/2025 | 20:50 MYT
Fadillah menyampaikan ucapan pada Majlis Anugerah Elit Naga Cina kali kedua anjuran Dewan Perhimpunan Cina Malaysia di Kuala Lumpur, malam tadi. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan kekal komited untuk memperkukuh kerjasama dengan organisasi masyarakat sivil sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata penglibatan konstruktif antara kerajaan dan organisasi bukan kerajaan (NGO), amat penting dalam membentuk dasar yang inklusif dan berkesan, serta mencerminkan keperluan sebenar masyarakat.

Beliau berkata Dewan Perhimpunan Cina Malaysia (MCAH) dalam tempoh dua dekad lepas, telah menjadi jambatan yang dihormati antara masyarakat dan pembuat dasar, mewakili hampir 200 NGO Cina yang terlibat dalam pendidikan, kebudayaan, perniagaan, pembangunan belia dan kebajikan sosial.

"Peranan sebagai penghubung ini, mengukuhkan proses pembentukan dasar. Apabila kerajaan bekerjasama rapat dengan NGO yang memberikan maklum balas jujur, pandangan berasaskan realiti dan cadangan yang praktikal, kita membina dasar yang lebih inklusif, berkesan dan benar-benar mencerminkan keperluan masyarakat," katanya berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-22 MCAH dan Majlis Makan Malam Gala Anugerah Elit Naga Cina (CEDA) Kedua, di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing, Presiden MCAH Datuk Seri KK Chai, selain diplomat dan wakil daripada kira-kira 50 Kedutaan dan Suruhanjaya Tinggi.

Fadillah berkata usaha MCAH itu selaras dengan kerangka Malaysia MADANI, yang menekankan nilai belas ihsan, keterangkuman dan keadilan dalam pembinaan negara.

Beliau turut menyoroti sumbangan MCAH sejak sekian lama yang merentasi garis etnik, dengan menyatakan bahawa program-programnya telah memberi manfaat kepada rakyat Malaysia daripada pelbagai komuniti, termasuk Melayu, Cina, India serta kumpulan etnik pribumi di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan menantikan kerjasama yang lebih erat dengan MCAH dan rangkaian NGO di bawahnya untuk memupuk perpaduan, mengukuhkan kepercayaan serta memperkasakan masyarakat di seluruh negara.

Fadillah turut mengucapkan tahniah kepada para penerima Chinese Elite Dragon Award (CEDA) dan menggambarkan mereka sebagai tokoh teladan yang pencapaian mereka mencerminkan kecemerlangan, ketabahan dan integriti.

Pada majlis tersebut, Fadillah menyampaikan anugerah kepada 22 individu, termasuk Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, yang menerima Anugerah Tokoh Paling Berpengaruh Media Berbahasa Cina.

Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik dianugerahkan Anugerah Kecemerlangan Sepanjang Hayat, manakala Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Nirvana Asia Tan Sri Kong Hon Kong serta pencipta pemacu pena Datuk Pua Khein-Seng, menerima Anugerah Kecemerlangan Usahawan Cina Cemerlang.

Pemenang emas Paralimpik dua kali Cheak Liek Hou dan pelari menara Soh Wai Ching, pula menerima Anugerah Olahragawan Cina Cemerlang.

-- BERNAMA

#Fadillah Yusof #masyarakat sivil #MCAH #pembangunan negara