[TERKINI] Ikuti pembentangan Bajet 2026 secara langsung – video tumpuan, undian anda serta analisis penuh di sini!
MALAYSIA

Kerajaan komited perluas pengiktirafan sijil pengesahan halal, perkasa PMKS

Bernama 09/10/2025 | 20:15 MYT
Kerajaan komited memperluas pengiktirafan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di peringkat antarabangsa khususnya untuk memperkasa penyertaan PMKS dalam industri halal global dan memperkukuh rantaian nilai eksport negara.
KUALA LUMPUR: Kerajaan komited memperluas pengiktirafan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di peringkat antarabangsa khususnya untuk memperkasa penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam industri halal global dan memperkukuh rantaian nilai eksport negara.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata, pada suku kedua tahun ini, nilai eksport halal negara berjumlah RM39.44 bilion, melibatkan sebanyak 1,499 syarikat pengeksport halal.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 956 syarikat terdiri daripada PMKS yang turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh penyertaan Malaysia di pasaran halal antarabangsa," kata jabatan itu menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, pada Khamis.

JPM berkata demikian bagi menjawab soalan Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) mengenai strategi kerajaan untuk memperluas pengiktirafan sijil halal Malaysia terutama melibatkan PMKS di pasaran antarabangsa bagi meningkatkan rantaian nilaian eksport produk halal negara.

Mengulas lanjut, jabatan itu berkata, pencapaian PMKS di peringkat antarangsa turut disumbang oleh pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik luar negara bagi memperkukuh penerimaan dan pengiktirafan SPHM di peringkat global.

Antara strategi utama yang dilaksanakan adalah pengukuhan pengiktirafan antarabangsa melalui Perjanjian Pengiktirafan Bersama (MRA).

Selain itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terus menjalin kerjasama strategik dengan badan pensijilan halal luar negara bagi memastikan pengiktirafan bersama SPHM dapat diperkukuh dari semasa ke semasa.

Sehingga kini, Jakim telah mengiktiraf sebanyak 92 badan pensijilan halal daripada 47 buah negara di seluruh dunia.

Sementara itu JPM berkata sehingga Ogos 2025, pelaburan yang direkodkan di Taman Perindustrian Halal Malaysia (HALMAS) berjumlah sebanyak RM16.7 bilion.

HALMAS merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan melalui Halal Development Corporation (HDC) untuk mengiktiraf dan memantau taman perindustrian yang memenuhi piawaian infrastruktur dan perkhidmatan sokongan halal, bagi menyokong pertumbuhan industri halal negara secara lebih sistematik dan bersepadu.

Program latihan industri halal dan bimbingan teknikal oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) turut diadakan yang bertujuan untuk meningkatkan ketersediaan PMKS bagi menembusi pasaran halal domestik dan antarabangsa.

Antara program yang dilaksanakan adalah Bengkel Pensijilan Halal, Seminar Pematuhan Piawaian MS1500, Klinik Halal, sesi bimbingan dokumentasi, serta Kursus Teknikal Berkaitan Standard Halal seperti Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).

Pada suku kedua tahun ini sektor halal terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila menyumbang sebanyak 7.94 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan nilai sumbangan dianggarkan berjumlah RM38.76 bilion.

-- BERNAMA




#Sijil Pengesahan Halal Malaysia #SPHM #Jabatan Perdana Menteri #nilai eksport halal negara