Kerajaan komited selesai isu kesesakan trafik di ibu kota - Dr Zaliha

Bernama
Januari 22, 2024 20:20 MYT
Dr Zaliha berkata Jawatankuasa Kabinet bagi mengatasi masalah kesesakan trafik juga telah mengemukakan beberapa cadangan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan komited dalam menyelesaikan isu kesesakan trafik di ibu kota melalui perbincangan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Polis Diraja Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata masalah itu sudah lama berlaku dan perlu ada penyelesaian.
"Kita tahu punca kesesakan trafik di ibu kota ini kebanyakannya melibatkan urusan pengguna jalan raya yang keluar untuk bekerja dan lain-lain urusan, maka saya galakkan orang awam untuk menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan trafik," katanya selepas melakukan lawatan kerja di Balai Polis Trafik Tun H.S Lee di sini semalam.
Beliau berkata Jawatankuasa Kabinet bagi mengatasi masalah kesesakan trafik juga telah mengemukakan beberapa cadangan.
"Kami mendapati kesesakan trafik akan berlaku pada waktu puncak bermula 6 pagi dan waktu pulang kerja," katanya sambil menambah mengikut rekod, antara 1.3 juta hingga 1.5 juta kenderaan memasuki ibu kota setiap hari.
-- BERNAMA
#kesesakan trafik #waktu puncak #DBKL #PDRM