Kerajaan Persekutuan, melalui koordinasi dengan kerajaan Sarawak, mengulangi komitmen untuk menyelesaikan masalah aksesibiliti di sekitar kawasan Kapit dan Belaga.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Kor Jurutera Diraja Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan meneruskan Projek Jiwa Murni yang kini sedang giat berlangsung di dua kawasan tersebut.

Jelasnya satu perbincangan antara beliau dengan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun
Hussein telah diadakan berhubung perkara tersebut.

"Saya telah berbincang agar kepakaran Kor Jurutera diteruskan dalam Projek Jiwa Murni di dua kawasan tersebut. Dalam perbincangan itu, kita rancang agar jalan balak dari Sibu ke Kapit sejauh 300 hingga 400 kilometer dijadikan jalan biasa, bagaimanapun 'soil stabilizer' perlu dilakukan terlebih dahulu di jalan balak itu," kata beliau.

Selain itu kerajaan juga akan menerus serta menaiktaraf Jalan Menjawa-Belaga yang sudah dimulakan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan.

Tegas Zahid ia bagi menyelesaikan masalah pengangkutan di kedua-dua kawasan tersebut.

Beliau turut memberitahu koordinasi yang diusahakan ini mendapat sokongan penuh Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Zahid Hamidi bagaimanapun mengakui tidak mudah untuk merealisasikan kedua-dua projek itu, terutama di Jalan Sibu ke Kapit kerana jalan balak itu merentasi gunung, hutan serta banyak sungai.

Namun katanya dengan keperihatinan yang dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak beliau percaya projek ini dapat dijalankan.

Malah mereka akan sedaya upaya mencari peruntukan tambahan bagi memastikan jalan berkenaan dibina, dan dipertingkat serta dinaiktaraf.