KUALA LUMPUR: Sejumlah 1,856 kanak-kanak direkodkan berkahwin pada tahun 2018 di Malaysia dengan 90 peratus daripada mereka melibatkan kanak-kanak perempuan.

Daripada jumlah itu, 83 peratus melibatkan kanak-kanak beragama Islam.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, secara puratanya, 1,500 kes perkahwinan bawah umur melibatkan semua etnik direkodkan pada setiap tahun. 

"Di Malaysia, purata 1,500 kanak-kanak dari pelbagai agama, etnik dan komuniti berkahwin pada setiap tahun.

"Ia berlaku sama ada di bandar mahupun kawasan pedalaman, Muslim atau bukan Muslim ataupun Orang Asli. Malah ia juga berlaku dalam kalangan migran serta komuniti pelarian," katanya pada diskusi Towards Ending Child Marriage anjuran Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bersempena dengan Hari Wanita Sedunia secara dalam talian, di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Rina menjelaskan, antara punca yang mendorong perkahwinan bawah umur di Malaysia adalah pendapatan isi rumah yang rendah dan kemiskinan.

"Selain itu, stigma yang sering dikaitkan dengan isu perkahwinan bawah umur dalam kalangan masyarakat juga antara faktor yang mendorong berlakunya perkahwinan bawah umur," katanya.

Justeru katanya, kerajaan komited menangani masalah ini dengan menyasarkan golongan isi rumah berpendapatan rendah dan miskin.

Namun begitu beliau berkata, undang-undang sahaja bukanlah penyelesaian mutlak bagi menangani masalah itu sebaliknya, perlu seiring dengan perubahan tingkah laku.

"Menangani isu ini adalah tanggungjawab bersama yang perlu dipikul oleh semua pemegang taruh," tambahnya lagi.

Rina memberitahu, Malaysia akan terus bekerjasama dengan UNICEF dalam isu-isu melibatkan kanak-kanak.

Mengulas lanjut, katanya, pada tahun lalu, kerajaan melancarkan Pelan Strategi Kebangsaan bagi menangani punca perkahwinan bawah umur bagi tempoh 2020 hingga 2025.

Pelan itu ujarnya, merangkumi tujuh objektif, 17 strategi dan 58 program yang sudah dirangka sepanjang lima tahun pelaksanaannya.

Beliau memberitahu, pelan itu melibatkan pembabitan kerajaan Persekutuan, kerajaan Negeri, agensi terbabit, pihak swasta dan komuniti.

Program yang dirangka itu ujarnya, adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, mengubah persepsi serta stigma yang sering dikaitkan dengan isu perkahwinan bawah umur dalam kalangan masyarakat.