Kerajaan melantik perunding bebas dan profesional bagi menjalankan penilaian khusus, bebas dan telus berhubung keselamatan pesawat dan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2).

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Ikram Premier Consulting (IPC) dipertanggungjawabkan untuk menjalankan penilaian itu bagi menentukan aspek keselamatan di laluan pesawat, apron, landasan dan kawasan persekitaran lain di lapangan terbang itu.

"IPC ini juga akan memberi laporan awal terus kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) berhubung perkara ini minggu depan," katanya dalam satu kenyataan di sini Khamis.

Beliau mengulas berhubung kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman pada 27 Feb lepas yang menyatakan bahawa keretakan di beberapa permukaan di bahagian luar KLIA 2 tidak menjejaskan aspek keselamatan pesawat.

Dalam kenyataannya itu, Azharuddin juga berkata kesan retak tersebut sebenarnya ialah kesan tekanan tanah yang berlaku di kawasan landasan, apron dan tempat letak pesawat, dan semuanya telah diperbaiki.

Berhubung perkembangan terkini KLIA 2, Hishammuddin berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat telah mengeluarkan surat pelepasan atau kelulusan untuk menggunakan bangunan terminal lapangan terbang itu.

Katanya pihak peniaga dan vendor serta agensi-agensi kerajaan yang akan beroperasi di situ, sudah pun memasuki terminal KLIA 2 bagi menyiapkan premis perniagaan dan pejabat masing-masing.

"Selain itu, ujian 'Operational Readiness and Airport Transfer' (ORAT) juga sedang berlangsung dan berjalan lancar," katanya.

Hishammuddin berkata Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan membuat lawatan ke KLIA 2 minggu depan sebelum beberapa Anggota Parlimen yang turut berhasrat melawat lapangan terbang itu.

Katanya walaupun KLIA 2 merupakan projek komersil dan melibatkan syarikat swasta, namun atas dasar kepentingan nasional, kerajaan berusaha sebaik mungkin memastikan aspek keselamatan sentiasa terjamin.