KUALA TERENGGANU: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi projek Rolling Plan 4 (RP4) di bawah Kementerian Pendidikan untuk Terengganu.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata peruntukan itu adalah bagi pelaksanaan 83 projek termasuk 26 projek baharu dan 57 projek sambungan.

"Bagi daerah Kuala Terengganu, sebanyak tujuh projek baharu yang bernilai RM35 juta telah diluluskan manakala tujuh projek sambungan bernilai RM80 juta sedang berjalan.

"Ia membawa jumlah keseluruhan projek kepada RM115 juta bagi kos keseluruhan," katanya semasa lawatan kerja dan Majlis Peluncuran Peneraju Transformasi Pendidikan Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.Pada majlis itu, Telekom Malaysia menyampaikan sumbangan zakat sebanyak RM30,000 kepada 100 pelajar asnaf SMK Sultan Sulaiman.

Mohd Zuki turut mengalu-alukan penglibatan lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan dalam membangunkan ekosistem pembelajaran berteraskan teknologi dan berkata sumbangan itu dapat mengurangkan kebergantungan kepada peruntukan kerajaan terutama dari aspek infrastruktur pembelajaran berteknologi.

-- BERNAMA