GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
MALAYSIA

Kerajaan lulus subsidi petrol RON95 untuk bot penumpang, bayaran balik tunai bermula 9 Oktober

Naz Raseed 03/10/2025 | 06:30 MYT
Armizan (foto) pada sidang media selepas majlis penyerahan Fleet Card stesen minyak Petronas, di Cyberjaya, hari ini. -Foto Ikqwan Lee
CYBERJAYA: Kerajaan mengumumkan syarikat bot penumpang layak menerima subsidi petrol RON95 melalui skim bayaran balik tunai, bermula 9 Oktober ini.


Ringkasan AI
  • Kerajaan mula beri subsidi petrol RON95 kepada syarikat bot penumpang melalui skim bayaran balik tunai bermula 9 Oktober
  • Kelayakan tertakluk kepada bot berjadual di kawasan berpenduduk dan berdaftar dengan agensi kawal selia seperti Jabatan Laut Malaysia
  • Tuntutan subsidi boleh dibuat melalui laman web KPDN selepas pendaftaran SKPS dan Fleet Card antara 30 September hingga 31 Oktober 2025


Langkah tersebut dijangka dapat meringankan kos operasi syarikat bot selepas kerajaan bersetuju bagi memasukkan bot penumpang ke dalam sektor pengangkutan awam, yang juga menjadi pengangkutan utama di kawasan pulau dan sungai.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, langkah segera ini bertujuan mengurangkan kos operasi pengangkutan air yang amat penting bagi penduduk di kawasan pulau dan sungai.

Namun begitu, kelayakan diberikan khusus kepada bot yang beroperasi secara berjadual di kawasan berpenduduk dan berdaftar dengan agensi kawal selia berkaitan, termasuk Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, serta Lembaga Sungai-Sungai Sarawak.

Armizan menjelaskan bahawa langkah ini juga merupakan solusi interim bagi menangani kos bahan api yang dihadapi syarikat bot.

“Kerajaan bersetuju untuk membuat pembayaran balik tunai kepada syarikat bot penumpang yang memenuhi kriteria bermula 9 Oktober ini, sebagai langkah interim bagi menampung kos pembelian petrol RON95,” beliau berkata demikian ketika sidang media majlis penyerahan Fleet Card di stesen minyak Petronas, di sini, hari ini.

Menurut Armizan, kriteria yang diperlukan adalah pihak syarikat harus membuat pendaftaran syarikat menerusi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) terlebih dahulu, kemudian pihak syarikat harus membuat permohonan bagi Fleet Card di mana-mana stesen minyak berdekatan.

Jelasnya lagi, tuntutan hanya boleh dibuat sekiranya permohonan bagi kedua-dua perkara tersebut dilakukan diantara tempoh 30 September hingga 31 Oktober 2025.

Beliau menambah, tuntutan pembayaran balik tunai bagi lebihan subsidi boleh dibuat sekiranya pendaftaran SKPS serta Fleet Card dilakukan antara 30 September hingga 31 Oktober 2025.

Proses tuntutan boleh dibuat melalui laman web rasmi KPDN, mysubsidi.kpdn.gov.my, bermula 9 Oktober.

Setelah pendaftaran dan semakan selesai oleh agensi berkaitan dan Kementerian Kewangan, bayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank syarikat dalam tempoh dijangka 15 hari bekerja.

Inisiatif ini dijangka memberikan kelegaan kewangan yang signifikan kepada pengendali pengangkutan air dan secara tidak langsung memberi manfaat kepada komuniti setempat yang bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan bot penumpang untuk urusan harian mereka



#Armizan Mohd Ali #kos sara hidup #Petronas #RON95 #kpdn #skps