KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI terus komited memperkasakan hal ehwal Islam di negara ini menerusi peningkatan peruntukan kewangan yang konsisten dan pencapaian Malaysia dalam bidang berkenaan di peringkat global.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata peningkatan peruntukan daripada RM1.5 bilion pada 2023 kepada RM2.6 bilion tahun ini jelas menunjukkan perhatian kerajaan terhadap pembangunan hal ehwal Islam.
“Pengurusan haji negara diiktiraf sebagai yang terbaik di dunia selama lima tahun berturut-turut, industri halal kita nombor satu di dunia,” katanya ketika merasmikan Program MADANI Kita (PMK) 2026 Peringkat Parlimen Lembah Pantai di Pusat Komuniti Lembah Pantai di sini pada Ahad.
Beliau turut menyentuh pencapaian perbankan Islam negara yang berada pada kedudukan pertama di dunia sejak 10 tahun berturut-turut.
Zulkifli juga berkata kerajaan perlu terus membangunkan agenda hal ehwal agama mengikut lunas undang-undang serta menghormati perbezaan dan kepelbagaian dalam masyarakat.
Program PMK ialah inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bersama dengan agensi-agensi di bawah Hal Ehwal Agama untuk mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat menerusi penyediaan pelbagai perkhidmatan, penerangan dan penjelasan.
Program itu turut menyediakan pelbagai perkhidmatan dan aktiviti kepada masyarakat termasuk khidmat nasihat, pemeriksaan kesihatan, pendidikan, latihan dan pembangunan kerjaya.
-- BERNAMA