MALAYSIA

Kerajaan MADANI selesai 13 tuntutan MA63 untuk Sabah – PM Anwar

Ernalisa Othman 22/10/2025 | 04:55 MYT
Anwar (foto) berkata hasil perbincangan berterusan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, sebanyak 13 tuntutan utama di bawah MA63 telah diselesaikan setakat ini. -Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI berjaya mencapai kemajuan ketara dalam usaha menyelesaikan pelbagai isu berkaitan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi negeri Sabah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • Kerajaan MADANI berjaya menyelesaikan 13 tuntutan utama MA63 termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan pengambilalihan SESB oleh kerajaan Sabah.
  • Sabah dibenarkan mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum dan kontraktor negeri memperoleh projek bernilai RM2 bilion pada 2024.
  • Kerajaan Persekutuan menyalurkan RM1.2 bilion untuk kestabilan bekalan elektrik dan komited melaksanakan MA63 secara menyeluruh melalui rundingan berterusan.


Beliau berkata, komitmen itu dizahirkan menerusi pelaksanaan Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Dengan sokongan Kerajaan MADANI, kontraktor minyak dan gas Sabah berjaya memperoleh projek bernilai RM2 bilion pada tahun 2024.

“Kerajaan Persekutuan turut bersetuju membenarkan kerajaan Sabah mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum bagi menjana hasil tambahan sekitar RM2 bilion setahun,” katanya semasa sesi penerangan mengenai pendirian Kerajaan MADANI berhubung Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Menurut Anwar, hasil perbincangan berterusan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, sebanyak 13 tuntutan utama di bawah MA63 telah diselesaikan setakat ini.

Antara perkara yang dimuktamadkan termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik serta pengambilalihan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) oleh kerajaan negeri.

Langkah itu membolehkan Sabah menguruskan sendiri sektor tenaga secara lebih menyeluruh dan berkesan mengikut keperluan negeri.

Selain itu, katanya, Kerajaan Persekutuan tetap menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion bagi memastikan kestabilan bekalan elektrik di negeri berkenaan kekal terjamin.

Perdana Menteri menegaskan, langkah ini membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI untuk menzahirkan semangat MA63 melalui tindakan nyata, bukan sekadar komitmen di atas kertas.

“Kerajaan MADANI bukan sahaja menghormati hak Sabah seperti yang termaktub dalam MA63, tetapi juga berusaha memastikan pelaksanaannya memberi manfaat terus kepada rakyat negeri itu,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pendekatan berasaskan rundingan dan kerjasama erat antara kedua-dua kerajaan akan mempercepatkan penyelesaian baki tuntutan lain yang masih dalam proses.






#Perjanjian Malaysia 1963 MA63 #Anwar Ibrahim #Kerajaan Madani #SESB #Sabah