MALAYSIA

Kerajaan MADANI terus komited pacu kesejahteraan rakyat Sarawak - PM Anwar

Bernama 25/12/2025 | 12:20 MYT
Kerajaan MADANI terus komited memacu kesejahteraan rakyat Sarawak melalui pelaburan strategik, pembangunan ekonomi inklusif serta pewujudan peluang pekerjaan baharu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI terus komited memacu kesejahteraan rakyat Sarawak melalui pelaburan strategik, pembangunan ekonomi inklusif serta pewujudan peluang pekerjaan baharu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan MADANI komited memacu pembangunan Sarawak melalui pelaburan strategik, ekonomi inklusif dan penciptaan peluang pekerjaan baharu.
  • Beliau berkata pelaksanaan MA63, pengurusan adil sumber minyak dan gas serta pengukuhan peranan PETROS bersama PETRONAS memastikan manfaat ekonomi disalurkan terus kepada rakyat Sarawak.
  • Anwar memaklumkan tumpuan turut diberikan kepada pembangunan tenaga hijau, hidrogen, AI, logistik dan perumahan rakyat bagi menjadikan Sarawak kuasa ekonomi masa depan negara.


Beliau berkata komitmen penuh turut diberikan terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) selain pengurusan sumber minyak dan gas yang adil, bagi memastikan manfaat ekonomi dapat disalurkan secara langsung kepada rakyat.

"Setiap inisiatif dirancang dan dilaksanakan untuk membina Sarawak yang lebih maju, mampan dan sejahtera, demi manfaat hari ini dan untuk generasi akan datang.

"Transformasi nyata untuk rakyat Sarawak sedang berjalan, dan kita semua adalah sebahagian daripada perjalanan ini," kata Anwar menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Perdana Menteri berkata antara kejayaan Kerajaan MADANI untuk Sarawak tahun ini ialah pembangunan strategik, pelaburan berkualiti dan peluang pekerjaan baharu bagi memacu masa depan Sarawak sebagai kuasa ekonomi Malaysia.

Anwar berkata Sarawak dikenal pasti sebagai antara fokus utama pembangunan nasional menerusi lawatan berkala beliau ke Kuching, Bintulu dan Miri, selain pemeteraian memorandum persefahaman pelaburan global serta pengumuman projek strategik melibatkan sektor tenaga dan industri berat.

Perkembangan itu menyaksikan ekonomi tenaga hijau Sarawak terus berkembang dengan pelaksanaan projek Solar Terapung Batang Ai bernilai RM184 juta, di samping kemasukan pelaburan dari Jepun, Korea Selatan dan Eropah dalam bidang hidrogen hijau.

Beliau berkata pelaburan dalam sektor logistik antarabangsa, pusat data dan kecerdasan buatan (AI) turut memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai pintu masuk pelaburan hijau Asia Pasifik.

Anwar berkata dalam sektor minyak dan gas, peranan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) diperkukuh dengan kerjasama strategik bersama Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS), sekali gus membuka ruang kepada penerokaan baharu, pembangunan gas serta perkongsian hasil yang lebih jelas bagi meningkatkan perolehan negeri.

Beliau berkata projek hidrogen hijau Sarawak, turut diiktiraf sebagai peneraju Asia sekali gus meletakkan negeri berkenaan sebagai kuasa tenaga masa depan Malaysia.

Perdana Menteri berkata pelaburan strategik dan pembangunan industri berimpak tinggi turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan kemahiran kepada rakyat Sarawak, termasuk dalam sektor tenaga hijau, semikonduktor, elektrik dan elektronik, hab metanol dan hidrogen serta pengukuhan sektor logistik dan aeroangkasa di koridor Kuching-Bintulu-Miri.

Anwar berkata pembangunan kemudahan rakyat turut menjadi teras utama apabila program perumahan seperti Program Perumahan Rakyat (PRR) dan Rumah Mesra Rakyat diperluas, selain pelaksanaan skim Step-Up Financing bagi memudahkan belia Sarawak memiliki rumah pertama manakala bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pula membantu meringankan beban kos sara hidup, khususnya melibatkan keluarga di kawasan pedalaman.

Beliau berkata usaha memperkasakan hak dan autonomi Sarawak melalui MA63 juga terus dipercepatkan menerusi rundingan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, termasuk penyusunan semula kuasa dalam bidang pendidikan dan kesihatan serta peningkatan peruntukan khas kepada negeri selain meningkatkan peruntukan untuk Sarawak serta mengiktiraf Sarawak sebagai rakan kongsi setara dalam Persekutuan Malaysia.

Secara keseluruhannya, Anwar berkata Sarawak kini semakin maju di Bawah Kerajaan MADANI di bawah slogan "Sarawak Makmur, Malaysia Sejahtera".

-- BERNAMA

#Kerajaan Madani #kesejahteraan rakyat Sarawak #pelaburan strategik #Perjanjian Malaysia 1963 MA63