IPOH: Kerajaan MADANI akan terus meningkatkan dan memartabatkan sekolah agama serta sekolah pondok di seluruh negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata sekolah pondok suatu masa dahulu berperanan dalam memberikan pendidikan, tetapi tewas apabila berlaku perubahan begitu pantas dan tidak mampu menguasai ilmu lain.
Sehubungan dengan itu, Perdana Menteri berkata beliau berbangga dengan ustaz, pimpinan sekolah pondok serta tok guru kerana mengekalkan tradisi Islam dan kitab lama, di samping bersedia untuk meneroka disiplin baharu seperti teknologi komputer dan kecerdasan buatan (AI).
“Saya ucap terima kasih atas kerjasama MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia), ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri) yang membantu bukan sahaja membaiki sekolah-sekolah agama ini.
“Saya beri jaminan, insya-Allah kerana kita terus sihat, ekonomi begini, sepertimana saya beritahu kepada Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki (ulama dari Kelantan), insya-Allah kita akan tingkat dan martabatkan sekolah agama, sekolah pondok di seluruh negara kita,” kata beliau.
Amwar berkata demikian ketika berucap merasmikan dan menyampaikan amanat khas pada Majlis Perasmian Himpunan Pondok dan Sekolah Agama Perak (HIPSA) 2026 di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al-Ummah, Chemor, di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Perdana Menteri berkata Kerajaan MADANI akan meneruskan inisiatif atau ikhtiar transformasi digital institusi pendidikan Islam yang dilancarkan pada Mac lepas.
Beliau berkata terdapat beberapa sekolah pondok, maahad atau sekolah menengah agama yang teknologi baharu disematkan supaya anak-anak bersedia menerima ilmu baharu.
“Jadi, saya hargai kerjasama yang diberikan oleh sekolah-sekolah ini dan pada hari ini, kita akan terus menambah peruntukan dan bantuan seperti diumumkan,” kata beliau.
Anwar, pada masa sama, menasihati golongan pelajar di sekolah itu untuk belajar dengan tekun dan membuktikan bahawa mereka boleh bersaing bukan sahaja dari segi kepintaran, kecekapan serta keterampilan dalam bidang disiplin tertentu seperti syariah, bahasa Arab dan sebagainya, tetapi juga dalam ilmu baharu.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM15 juta yang diluluskan untuk sekolah pondok dan sekolah agama di seluruh Perak bagi 2026, manakala RM300,000 diluluskan khusus untuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al-Ummah, Chemor.
“Kita dah luluskan (peruntukan) tahun lepas (untuk) 115 pondok di Perak ini, tetapi tahun ini kita tambah untuk semua sekolah pondok di Perak yang tidak cukup bantuan yang lepas, kita beri RM15 juta,” kata beliau.
-- BERNAMA