MALAYSIA

"Kerajaan mana yang sanggup serah kuasa kepada Parlimen?" - PM Anwar

Hasimi Muhamad 23/08/2025 | 04:20 MYT
Anwar turut memaklumkan bahawa kerajaan akan membentangkan Akta Perolehan Kerajaan di Dewan Rakyat pada minggu depan. - Foto Bernama
NILAI: Kerajaan MADANI antara pentadbiran yang berani menyerahkan kuasa kepada Parlimen, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, itu merupakan komitmen kerajaan dalam melaksanakan reformasi institusi dan fiskal yang sebenar, termasuk menyerahkan kuasa tertentu kepada Parlimen demi menjamin ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran.

Kata Anwar, ia antaranya dibuktikan melalui Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang telah diluluskan di Dewan Negara.

"Kerajaan mana yang sanggup menyerahkan kuasa dia kepada Parlimen? Antaranya Rang Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.

"Maknanya, kalau Menteri Kewangan itu umum dasar unjuran pertumbuhan, turunkan kadar hutang dan Parlimen luluskan. Kemudian tak dapat dilaksanakan, Menteri Kewangan kena bentang semula kepada Parlimen.

"Ini nak jaga supaya dasar kerajaan itu penuh bertanggungjawab. Ini yang kita luluskan," kata Perdana Menteri.

Anwar berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Program MADANI Rakyat 2025 Zon Selatan, yang turut dihadiri oleh kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan Negeri di Dataran Nilai, dekat sini, pada Sabtu.

Dalam masa sama, Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan akan membentangkan Akta Perolehan Kerajaan di Dewan Rakyat pada minggu depan - satu lagi langkah reformasi besar yang tidak pernah diambil oleh pentadbiran sebelum ini.

Tegas Anwar, hanya kerajaan yang kukuh dan berani sahaja yang sanggup menyerahkan kuasa kepada Parlimen, dan ia disifatkan sebagai satu tanggungjawab.

"Ini kerajaan dulu tak berani buat. Sebab apa? Semua perolehan Kerajaan Persekutuan dan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)... mesti ikut tatacara jelas serta mesti ikut tender melainkan soal keselamatan.

"Kalau betul nak beli radar untuk keselamatan, mesti ada kerahsiaan... itu kita kecualikan," ujar beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah, langkah tersebut bertujuan memastikan perolehan awam diurus secara adil, telus dan bebas daripada sebarang salah guna kuasa.





#Anwar Ibrahim #kerajaan Persekutuan #reformasi institusi