MALAYSIA

Kerajaan mohon lucut hak wang dalam akaun bank Ilham Tower, seorang individu berkaitan kes Tun Daim

Bernama 18/12/2025 | 10:00 MYT
Pendakwa raya memohon agar wang dalam akaun bank Ilham Tower dan individu terbabit yang disita pada 31 Mei 2024 dilucutkan hak kepada kerajaan Malaysia. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan memohon untuk melucut hak wang dalam akaun bank milik Ilham Tower Sdn Bhd dan seorang individu yang disiasat berkaitan kes melibatkan bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin.


Ringkasan AI
  • Kerajaan memohon untuk melucut hak wang dalam akaun bank Ilham Tower Sdn Bhd dan individu yang disiasat berkaitan kes bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin.
  • Permohonan dilakukan berdasarkan kuasa yang diberi oleh Akta SPRM 2009 atas alasan harta diperoleh dari kesalahan di bawah Akta tersebut.
  • Peguam responden memohon penangguhan permohonan pelucutan hak disebabkan kes lain sedang berjalan di Mahkamah Tinggi yang berkaitan dengan keabsahan dan kesan Akta SPRM.


Pendakwa raya selaku pemohon memfailkan notis permohonan itu secara berasingan di Mahkamah Sesyen di sini pada 28 Nov dan 3 Dis dengan menamakan Ilham Tower dan seorang wanita sebagai responden.

Berdasarkan dua notis itu, pendakwa raya memohon agar wang dalam akaun bank Ilham Tower dan individu terbabit yang disita pada 31 Mei 2024 dilucutkan hak kepada kerajaan Malaysia.

Permohonan itu dibuat atas alasan pendakwa raya di bawah kuasa-kuasa yang diberi oleh Seksyen 41(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah berpuas hati bahawa harta alih yang telah disita oleh SPRM dilucutkan hak, iaitu tiada pendakwaan jenayah atas suatu kesalahan di bawah akta itu.

Dakwa pemohon, harta berkenaan telah diperoleh hasil daripada atau berkaitan dengan suatu kesalahan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi bahawa pihaknya memohon perintah untuk menyiarkan warta bagi memanggil mana-mana orang yang mempunyai kepentingan terhadap harta berkenaan hadir ke mahkamah, mengikut Seksyen 41(2) Akta SPRM 2009.

Peguam Nizamuddin Hamid yang mewakili kedua-dua responden kemudian berkata pihaknya akan memohon untuk menangguhkan permohonan pelucutan hak itu kerana terdapat kes lain yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi.

"Prosiding di Mahkamah Tinggi itu melibatkan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman bagi merujuk soalan-soalan berkaitan Perlembagaan Persekutuan berkaitan keabsahan dan kesan Seksyen 36 Akta SPRM ke Mahkamah Persekutuan.

"Terdapat permohonan semakan kehakiman dengan kebenaran terhadap semakan kehakiman itu telah diberikan terhadap penyitaan akaun-akaun berkaitan di bawah Seksyen 37 Akta SPRM," kata peguam itu.

Nizamuddin turut memohon perintah perlindungan sementara supaya nama responden, nama bank, nombor akaun dan jumlah yang terlibat tidak didedahkan, bagi mengelak kesan buruk terhadap hubungan perbankan mereka.

Bagaimanapun, Mahadi berkata kes itu adalah berprofil tinggi serta masyarakat berhak untuk mengetahuinya dan nama responden telah disiarkan kepada media sebelum ini, namun pihaknya tidak membantah sekiranya maklumat berkaitan bank dan nilai tidak didedahkan.

Azura kemudian membenarkan permohonan perintah perlindungan sementara yang dipohon peguam dan menetapkan 12 Feb 2026 bagi prosiding warta pihak ketiga yang berkepentingan terhadap harta itu hadir ke mahkamah dan menyatakan mengapa ia tidak sepatutnya dilucut hak kepada kerajaan.

-- BERNAMA




#kerajaan mohon #lucut hak wang #Menara Ilham #Tun Daim Zainuddin #akaun bank #terkini