MALAYSIA

Kerajaan muktamadkan pemulangan 40 peratus hasil Sabah esok - PM Anwar

Bernama 10/11/2025 | 06:00 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) merasmikan Jelajah Malaysia Digital di Taman Semarak, di sini, hari ini. - Bernama
TAWAU: Keputusan mengenai tuntutan pemulangan hak 40 peratus hasil Sabah akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri esok, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • Keputusan mengenai tuntutan pemulangan hak 40 peratus hasil Sabah akan dibuat dalam Mesyuarat Khas Jemaah Menteri esok, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  • Anwar menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya telah meningkatkan peruntukan kepada Sabah kepada RM17 bilion setahun berbanding RM10 bilion hasil yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan.
  • Perdana Menteri menyeru semua pihak memahami situasi berkenaan dan menegaskan akan meneruskan rundingan selepas terbentuknya kerajaan baharu untuk memenuhi tuntutan tambahan Sabah.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan mendengar pandangan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang sebelum membuat keputusan sama ada memfailkan rayuan atau sebaliknya.

"Saya sudah panggil mesyuarat esok. Kita dengar dulu penjelasan Peguam Negara, hendak rayu atau tidak, tunggu esok. Bagi saya, kalau tidak rayu pun tidak mengapa. Tetapi keputusan muktamad dibuat selepas kita dengar dan bincang bersama semua ahli Jemaah Menteri," katanya ketika berucap pada program Jelajah Malaysia Digital di sini hari ini.

Anwar berkata terdapat kekangan dan keterbatasan dalam isu berkenaan, namun berharap semua pihak memahami situasi berkenaan.

"Soalnya, mahkamah arah untuk runding. Saya kata baik, kita akan runding. Tetapi hari ini hendak runding dengan siapa? Kerana kerajaan sekarang hanyalah kerajaan sementara (caretaker government). Tunggu pilihan raya, selepas kerajaan baharu dibentuk, saya akan arahkan rundingan dimulakan segera," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya telah menyalurkan peruntukan yang lebih besar kepada Sabah berbanding pentadbiran terdahulu.

Beliau berkata Sabah kini menerima peruntukan tahunan sebanyak RM17 bilion, berbanding hasil yang dikutip Kerajaan Persekutuan di negeri itu iaitu kira-kira RM10 bilion setahun.

"Mengapa ketika saya menjadi Perdana Menteri, saya meningkatkan jumlah pemberian khas kepada Sabah sebanyak RM600 juta? Namun, ini belum muktamad. Kerajaan negeri meminta tambahan dan dalam mesyuarat akan datang, kita akan runding lagi berapa jumlah yang boleh ditambah," katanya.

Mengulas kritikan pembangkang, Perdana Menteri berkata:"Kalau pembangkang asyik memarahi kita, saya ingin bertanya, kamu hendak marah apa? Pada zaman kerajaan terdahulu, hanya RM56 juta diberi. Kita naikkan kepada RM600 juta, kamu masih marah?"
#PRN Sabah #tuntutan hasil Sabah #Anwar Ibrahim #MA63