Kerajaan negeri cadang PKPD di Penjara Reman Pulau Pinang

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 12, 2020 12:19 MYT
MKN negeri akan mengemukakan cadangan pelaksanaan PKPD itu dalam masa terdekat. -Gambar fail/ Astro AWANI
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang mencadangkan kerajaan Persekutuan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Reman Pulau Pinang dan kuarter kakitangannya susulan pertambahan 141 kes baharu hari ini.
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri akan mengemukakan cadangan itu dalam masa terdekat.
"Sekiranya PKPD dilaksanakan, ia akan melibatkan 2,800 orang terdiri daripada banduan, kakitangan dan ahli keluarga petugas penjara yang menetap di kuarters.
"Semua agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah bersiap sedia sekiranya PKPD itu dilaksanakan.
"Cadangan tersebut dibuat kerajaan negeri selepas mengambil kira penilaian risiko JKNPP (Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang) untuk panduan dan tindakan selanjutnya," katanya pada sidang media di pejabatnya di Komtar di sini, hari ini.
Menurut Kon Yeow, sehingga kini, JKNPP memaklumkan kes-kes aktif Kluster Penjara Reman adalah tertumpu dalam kalangan banduan sahaja, justeru pemantauan lanjut akan terus dijalankan.
Beliau berkata, kesemua banduan dan petugas di Penjara Reman Pulau Pinang telah menjalani saringan dan saringan kedua juga mula dijalankan hari ini.
Dalam pada itu, Kon Yeow berharap rakyat negeri itu kekal tenang dan terus menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Asmayani Khalib memberi jaminan fasiliti perubatan dan kakitangan hospital di negeri itu ketika ini mencukupi dalam menangani peningkatan kes COVID-19.
"Kita juga sudah mewujudkan pusat rawatan khas berisiko rendah di dalam penjara bagi proses rawatan, saringan dan kuarantin manakala kes kritikal dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP)," katanya.
#Penjara Reman Pulau Pinang #PKPD #pulau pinang #Ketua Menteri #MKN #cadangan #COVID-19 #141 kes