KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri diberi kelonggaran tambahan sebanyak RM5 bilion menerusi dana di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi membiayai kerja-kerja penyelenggaraan jalan, untuk tahun ini.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pemberian itu adalah bagi membiayai kerja penyenggaraan, pembaikan, penggantian dan pengubahsuaian jalan, jambatan, longkang, pembetung serta cerun di jalan negeri yang rosak akibat banjir termasuk di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kerajaan Persekutuan amat prihatin terhadap situasi yang dihadapi kerajaan negeri pasca banjir Monsun Timur Laut 2021/ 2022 yang lalu," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Perdana Menteri berkata, kelonggaran itu merupakan antara penambahbaikan yang dilakukan oleh kerajaan Persekutuan bagi pemberian dan sokongan kepada negeri-negeri bagi 2022.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang dihadiri Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan Persekutuan juga bersetuju mengkaji semula pemberian MARRIS supaya peruntukan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri dengan memperluas skop perbelanjaan termasuk merangkumi penyelenggaraan jalan seperti di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian.

Justeru, kata beliau, kerajaan Persekutuan bersedia membuat pindaan garis panduan dan perundangan yang berkaitan untuk meluaskan skop penggunaan pemberian MARRIS.

Selain itu, kerajaan Persekutuan, jelas beliau, akan meningkatkan peruntukan Pindahan Fiskal Ekologi (EFT) daripada RM70 juta kepada RM100 juta sebagai insentif khusus kepada negeri yang mewartakan kawasan baharu untuk dilindungi.

"Insentif kewangan kepada kerajaan negeri ini adalah bagi meningkatkan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan biodiversiti daratan serta marin," jelas beliau lagi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan Persekutuan turut bersetuju berhubung caruman sebanyak RM330 juta dalam Kumpulan Wang Rizab Negeri bagi membiayai Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (pemberian TAHAP).

Pada masa sama, satu jawatankuasa akan ditubuhkan dan dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan bagi membuat semakan semula formula pengiraan, kriteria dan kaedah pengagihan pemberian TAHAP.

"Ini menunjukkan komitmen kerajaan Persekutuan dalam menyediakan peluang kepada kerajaan negeri bagi melaksanakan projek pembangunan mengikut keutamaan dan keperluan negeri masing-masing.

"Langkah ini bagi memperkukuh lagi momentum pemulihan ekonomi Keluarga Malaysia," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan Persekutuan juga sentiasa komited dalam memastikan hubungan dengan kerajaan negeri sentiasa berada dalam tahap terbaik.

"Hasrat ini dimanifestasikan melalui peningkatan peruntukan yang disalurkan dalam pelbagai bentuk pemberian kepada kerajaan negeri setiap tahun.

"Justeru, kerajaan Persekutuan berharap pemberian ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri terutama dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia sentiasa terpelihara," kata Perdana Menteri lagi.