MALAYSIA
Kerajaan negeri P.Pinang digesa percepat kelulusan bina sekolah

Persatuan Bertindak Ibu Bapa Sekolah Tamil Batu Kawan hari ini menggesa kerajaan negeri mempercepatkan kelulusan tanah seluas 1.21 hektar untuk pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Batu Kawan yang baharu.
Pengerusi persatuan itu, A. Govindasamy berkata Ketua Menteri Lim Guan Eng sehingga kini mengambil sikap berdiam diri walaupun telah menerima dua memorandum berhubung isu itu pada pada Januari 2011 dan November 2010.
"Tanah itu terletak bersebelahan tapak sekolah baharu. Sekarang ini kerja menaik taraf sekolah sudah bermula kira-kira 30 peratus, jika kerajaan negeri terus berlengah, kami bimbang murid terpaksa tunggu lagi untuk dapat bangunan yang selesa," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Penolong Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri, P. Parameswari di Komtar di sini.
Katanya kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) sebelum ini memberi tanah seluas 0.8 hektar berhadapan Stadium Negeri Batu Kawan pada 2008 namun masih tidak mencukupi untuk tujuan pembinaan infrastruktur tambahan seperti padang permainan, makmal dan dewan sekolah yang lebih selesa.
Govindasamy berkata kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM6.3 juta pada November 2011 bagi tujuan pembinaan semula bangunan sekolah yang menempatkan 150 murid dan 10 orang guru itu.
Beliau berkata sekolah itu yang beroperasi dalam estet sejak 1905, terbakar 10 tahun lepas dan dipindahkan ke sebuah bangunan setingkat yang mempunyai enam buah kelas berhampiran tapak lama.
"Bangunan setingkat itu merupakan kabin lama yang diubah suai. Memandangkan sekolah itu paling dekat di kawasan perumahan kami, murid-murid terpaksa belajar di situ walaupun kemudahan sekolah tidak begitu lengkap," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami