Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada Isnin tampil menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berhubung kos RM305 juta untuk kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) Projek Terowong Persiaran Gurney, Bagan Ajam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Utiliti dan Pengangkutan Negeri, Lim Hock Seng menjelaskan kos sebenar kajian kebolehlaksanaan projek terowong itu adalah RM20 juta manakala kos kajian kebolehlaksanaan untuk tiga projek jalan utama yang menghubungkan terowong itu adalah RM31.269 juta.

Dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini, Hock Seng berkata ini menjadikan kos keseluruhan kajian kebolehlaksanaan projek terowong dan tiga jalan utama adalah RM51.269 juta atau 0.93 peratus daripada kos keseluruhan projek berkenaan yang dijangka menelan belanja RM6.341.

Hock Seng menjelaskan kos RM305 juta itu turut merangkumi kos rekabentuk terperinci dan Kajian Alam Sekitar (EIA) dan bukan hanya kos kajian kebolehlaksanaan seperti yang didakwa Abdul Rahman.

Menurutnya, kajian kebolehsaksanaan projek itu sudah 83 peratus siap dan bakal dilengkapkan sepenuhnya pada Julai depan manakala keseluruhan projek terowong itu dijangka akan siap menjelang tahun 2025.

Mengulas lanjut, Hock Seng berkata daripada kos keseluruhan RM6.341 billion untuk projek terowong dasar laut itu, RM305 juta diperuntukkan untuk kajian kebolehlaksanaan, RM540 juta untuk kos pengambilan tanah manakala selebihnya RM5.5 bilion adalah kos pembinaan.

Abdul Rahman sebelum ini mengajukan tujuh persoalan yang antaranya meminta kerajaan Pulau Pinang menjelaskan mengapa kos kebolehlaksanaan projek mencecah RM305 juta.

Sementara itu, menjawab persoalan Abdul Rahman mengapa kerajaan negeri bersetuju membiayai projek itu dengan gantian tanah seluas 110 ekar kepada pihak pemaju, Hock Seng menjelaskan pihaknya sudah membuat penilaian yang wajar berdasarkan penilaian oleh Jabatan Penilaian Dan Pengurusan Harta (JPPH) pada tahun 2014.

Menjelaskan mengenai persetujuan kerajaan negeri memberi konsesi tol 30 tahun kepada Konsortium Zenith BUCG, ia adalah kerana syarikat itu diberi tanggungjawab untuk menguruskan urusan pengendalian, baik pulih, penyelengaraan dan pengurusan terowong.

Menurut Hock Seng, wajar semua urusan berkenaan diserahkan kepada konsortium terbabit memandangkan Kerajaan Negeri tidak mempunyai kepakaran dalam bidang itu.