Kerajaan negeri Sarawak tidak pilih kasih salurkan bantuan - Fatimah Abdullah

Astro Awani
April 29, 2020 06:10 MYT
Kerajaan negeri Sarawak juga tidak pernah menganaktirikan kawasan pembangkang di negeri itu. FOTO: Astro AWANI
Semua rakyat negeri Sarawak yang terkesan dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dibantu tanpa mengira latar belakang agama, bangsa atau fahaman politik.
Sambil menegaskan kerajaan Sarawak tidak pernah mengabaikan kawasan pembangkang, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata bantuan disalurkan kepada semua golongan memerlukan.
“Sekiranya mereka didapati memerlukan dan belum menerima sebarang bantuan, jawatankuasa di peringkat bahagian khususnya dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mencari dan berusaha mendapatkan sumber bantuan.
“Ini termasuk bantuan bakul makanan kerajaan Persekutuan dan derma daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” jelas Fatimah.
Sementara itu, sehingga 24 April 2020, 82 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak melibatkan 366,254 ketua isi rumah (KIR) telah menerima bantuan makanan asas Sarawakku Sayang.
Selain itu, bantuan makanan sebanyak 42 tan turut dihantar kepada lebih 2,500 KIR di kawasan pedalaman menggunakan perkhidmatan helikopter.
Proses penghantaran melibatkan tujuh kawasan di negeri itu termasuk Batang Ai, Telang Usan dan Mulu.
Bantuan melibatkan keperluan makanan asas seperti beras, tepung, gula dan minyak masak.
Bagi memastikan penyerahan bantuan di kampung dan kawasan rumah panjang berjalan dengan lancar, kerjasama dilakukan antara Pusat Khidmat ADUN dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
#AWANI Sarawak #Batang Ai #COVID-19 #Datuk Seri Fatimah Abdullah #Ketua Isi Rumah #Kuching #Menteri KWKPK #Mulu #perintah kawalan pergerakan #Sarawak #Sarawakku Sayang #Telang Usan