MALAYSIA

Kerajaan Negeri Sembilan tidak kompromi isu rasuah PBT - Aminuddin

Bernama 30/01/2026 | 14:15 MYT
Aminuddin menyempurnakan peluncuran T-Shirt Pelancongan Pesona Seremban pada Majlis Apresiasi Bandaraya MBS kali kedua di Sendayan hari ini. - Gambar Bernama
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat dalam rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan atau sebarang bentuk salah laku integriti.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Negeri Sembilan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap rasuah atau salah guna kuasa pegawai PBT, tindakan tegas akan diambil tanpa mengira jawatan individu tersebut.
  • Menteri Besar Aminuddin Harun menekankan ketegasan itu penting bagi menjaga imej MBS sebagai pentadbiran bersih; aspirasi menjadikan Seremban sebagai bandar raya pintar dan rendah karbon.
  • MBS perlu bergerak pantas dalam agenda bandar raya pintar, dengan fokus kepada perkhidmatan digital, pemendekan tempoh kelulusan, penggunaan sistem data bersepadu, pengurangan pelepasan karbon, dan mobiliti hijau.


Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil tanpa mengira jawatan atau kedudukan terhadap individu terlibat.

"Pendirian saya sebagai Menteri Besar amat jelas dan tegas... tiada perlindungan, tiada kompromi dan tiada toleransi. Tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil tanpa mengira jawatan atau kedudukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Bandaraya (MAB) Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang turut dihadiri Datuk Bandar MBS Datuk Masri Baharuddin di sini hari ini.

Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menekankan bahawa ketegasan itu penting bagi memastikan imej MBS dan kerajaan negeri terus dipelihara sebagai sebuah pentadbiran bersih, berwibawa dan diyakini rakyat. Ini selaras dengan aspirasi menjadikan Seremban sebagai bandar raya pintar dan rendah karbon menjelang 2027.

Hari ini dilaporkan seorang penolong pegawai tadbir Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas enam pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah lebih RM47,000, antara Jun 2022 hingga Mac 2024.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata MBS perlu bergerak lebih pantas, tersusun dan berdisiplin dalam merealisasikan agenda bandar raya pintar dan rendah karbon yang bukan sekadar komitmen dasar tetapi juga keperluan strategik demi masa depan bandar raya yang mampan.

"Antara keutamaan yang perlu direalisasikan adalah pelaksanaan sekurang-kurangnya 80 peratus perkhidmatan utama MBS secara digital menjelang 2027, pemendekan tempoh kelulusan, penggunaan sistem data bersepadu serta inisiatif pengurangan pelepasan karbon dan galakan mobiliti hijau," katanya.

Sementara itu, program itu menyaksikan seramai 71 individu menerima anugerah, melibatkan 29 kategori termasuk Anugerah Tandas Terbersih dan Pengurusan Pasar Malam Terbaik.

Turut diadakan pelancaran secara serentak Pelan Strategik Majlis Bandaraya Seremban 2026-2030, Portal Interaktif Fun Map Seremban dan pelancaran Baju Pelancongan "Pesona Seremban" sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

-- BERNAMA


#Mahkamah Sesyen #Rasuah #pelancongan #pbt