KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri tidak boleh melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata MKN telah memutuskan satu SOP sama diguna pakai di seluruh negara dan negeri tidak sepatutnya membuat SOP sendiri.

"Kita pernah mempunyai prinsip khas iaitu mereka (kerajaan negeri) dibenar memperketat SOP, tetapi kerajaan negeri tidak boleh melonggarkan SOP yang sedang berkuat kuasa.

"Contoh, kedai makan dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam, jika kerajaan negeri hendak menetapkan ia hanya beroperasi dari 6 pagi hingga 8 malam kita akan benarkan, tetapi jika kerajaan negeri benarkan operasi hingga 12 tengah malam ini tidak boleh," katanya kepada pemberita ketika melawat Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keputusan kerajaan Sabah membenarkan makan di restoran bermula hari ini, berbeza dengan SOP yang dikeluarkan oleh MKN.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata beliau telah memaklumkan perkara itu kepada wakil kerajaan Sabah pada Mesyuarat Sidang Khas MKN semalam.

Sementara itu, ditanya mengenai permohonan negeri-negeri yang merekodkan kes COVID-19 rendah untuk melonggarkan SOP semasa Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara, beliau berkata perkara tersebut sedang diteliti oleh MKN dan keputusan akan dibuat dalam masa terdekat.

Menurutnya, kelonggaran SOP pernah diberikan kepada negeri yang mencatat kes COVID-19 yang rendah sebelum ini, namun tindakan itu menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

"Oleh itu, kita cadangkan nilai ambang peringkat nasional, tetapi ada yang berpendapat ini tidak adil bagi negeri seperti Perlis yang hanya merekodkan kes satu digit sehari kerana mereka tidak boleh (beralih) dari Fasa Satu (Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara) kerana terpaksa mengikut nilai ambang peringkat nasional.

"Jadi semalam kita bincang, kita bincang dari segi nilai ambang ini. Insya-Allah, kita akan perincikan dan bila sampai masa, kita akan umum, mungkin negeri akan gunakan jumlah kes per 100,000 penduduk jadi ia lebih adil kepada semua," katanya.

-- BERNAMA