Kerajaan negeri Pahang disaran menubuhkan jawatankuasa siasatan khusus berhubung kejadian banjir lumpur di Km 52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pada 11 Nov lepas.

Chow Yu Hui (DAP-Bilut) berkata jawatankuasa itu penting bagi mengelakkan insiden sama daripada berulang.

"Panel jawatankuasa siasatan ini perlu terdiri daripada jabatan dan agensi yang terlibat, pakar dalam isu ini, lembaga lebuhraya, pihak kerajaan negeri, anggota Parlimen dan anggota pembangkang dari Bentong," katanya.

Chow berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2016) 2015 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan dan Perbekalan Air Tahun 2016 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-13 di Wisma Sri Pahang hari ini.

Beliau menambah penutupan lebuh raya itu akibat kejadian banjir lumpur itu telah menyukarkan pengguna lebuh raya kerana terpaksa menggunakan jalan alternatif melalui Kuala Pilah atau Fraser Hills yang mengambil masa kira-kira empat jam berbanding hanya sejam melalui lebuh raya itu.

Kejadian banjir lumpur di Km52.4 berhampiran Lentang-Bukit Tinggi pada pukul 6.30 petang 11 Nov itu menyebabkan kedua-dua arah tidak boleh dilalui dan hanya dibuka semula sepenuhnya pada Ahad lepas (15 Nov).

Kejadian itu turut menjejaskan 14 keluarga membabitkan 73 orang di kuarters Jabatan Perhutanan Negeri Pahang yang terpaksa dipindahkan ke Masjid Lentang.

Sidang DUN bersambung Isnin.