Kerajaan pantau 92 projek "sakit" seluruh negara - Mustapa

Muhafandi Muhamad
Februari 12, 2022 06:37 MYT
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) merangkap Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed menyampaikan ucapan perasmian sempena majlis penyerahan dan perasmian projek membina jalan dari Chedok ke Nibong Bukit Bunga hari ini. - fotoBERNAMA
JELI: Kerajaan sedang memantau 92 projek “sakit” di seluruh negara yang berlaku kelewatan melangkaui waktu ditetapkan iaitu dalam tempoh dua bulan atau 20 peratus berbanding jadual pelaksanaan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, antara punca utama dikenal pasti menjadi penyumbang kepada masalah kelewatan penyiapan projek kontraktor serta perunding and termasuk isu-isu pelaksanaan termasuk koordinasi antara klien, pihak ketiga dan agensi pelaksanaan.
Jelasnya, Kementerian Pendidikan telah merekodkan 22 buah projek “sakit” manakala Sabah mencatatkan negeri tertinggi projek sakit dengan 16 projek sakit.
Mustapa bagaimanapun berkata, 22 projek berkenaan sedang dipantau oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM dan Jawatankuasa Pemudahcara pelaksanaan Projek Pembangunan Negara.
Jelasnya lagi, tindakan sewajarnya sedang diambil untuk memantapkan kriteria pemilihan dan pelantikan kontraktor serta perunding selain usaha meningkatkan kemahiran penjawat awam dalam menguruskan projek pembangunan negara.
Kerajaan, katanya, sentiasa komited dalam memastikan projek pembangunan dapat disiapkan mengikut jadual dan secara bersepadu agar rakyat dapat menikmati manfaat.
Beliau berkata, ketika ini kerajaan turut memantau rapi semua projek dilaksanakan di bawah jawatankuasa tertinggi pemantauan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memastikan projek terbabit dapat dilaksanakan mengikut jadual sekali gus menyumbang kepada pertubuhan ekonomi negara.
Mustapa berkata demikian di sidang media selepas majlis perasmian Projek Bunga Raya Bypass di Bukit Bunga di sini, hari ini.
Projek jalan raya pintasan ini akan dapat mengurangkan kesesakan di laluan Jeli-Dabong dan Gerik, terutamanya pada musim perayaan.
#Mustapa Mohamed #projek sakit #projek mega #Unit Penyelarasan Pelaksanaan ICU