KUALA KANGSAR: Kerajaan terus memantau perkembangan konflik antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) bagi memastikan bekalan minyak negara kekal terjamin serta mengurangkan impaknya terhadap ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata konflik geopolitik yang melibatkan negara pengeluar minyak utama berpotensi terus memberi kesan kepada pasaran tenaga global, khususnya dari segi bekalan dan harga minyak mentah.
“Seperti yang kita tahu, kesan utamanya adalah terhadap bekalan minyak tetapi alhamdulillah, kerajaan juga telah berusaha untuk mempelbagaikan sumber kita dan kami akan terus meneliti serta melihat perkembangan ini dengan lebih dekat.
“Matlamat akhirnya adalah untuk memastikan bekalan kita terjamin dan perang ini tidak mengakibatkan kesan yang buruk kepada negara,” katanya semalam.
Beliau ditemui selepas Program Pemerkasaan Kelab Guru dan Kakitangan serta penyampaian sumbangan kepada sekolah-sekolah Parlimen Padang Rengas di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Perak di sini.
Menurut laporan media antarabangsa, harga minyak dunia meningkat semalam selepas AS dan Iran memperhebatkan semula serangan di rantau Teluk, sekali gus menjejaskan aliran eksport minyak melalui Selat Hormuz serta mencetuskan kebimbangan baharu terhadap bekalan tenaga global.
-- BERNAMA