MALAYSIA

Kerajaan perkasa TVET Tahfiz, tingkat kebolehpasaran pelajar - TPM Ahmad Zahid

Bernama 22/10/2025 | 14:55 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu, antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bilangan 2 Tahun 2025, yang beliau pengerusikan hari ini. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz, akan terus diperkasakan melalui kerjasama pelbagai kementerian dan agensi kerajaan bagi memperluas akses program tersebut kepada pelajar institut tahfiz dan sekolah pondok.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu, antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bilangan 2 Tahun 2025, yang beliau pengerusikan hari ini.

Beliau berkata beberapa kertas pembentangan telah diteliti, antaranya cadangan kerjasama pelaksanaan TVET Tahfiz antara Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi (JPPKK, KPT) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia (JPK, KESUMA) dalam memperkasakan bakat komuniti.

"Usaha ini juga akan memberi nilai tambah terhadap program berkenaan, melalui pengiktirafan sijil dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), sekali gus mampu meningkatkan kebolehpasaran pelajar tahfiz dan meningkatkan pendapatan dalam mendepani isu kos sara hidup," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata mesyuarat turut meneliti cadangan menangani isu kos tambahan dan persekolahan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) seperti yuran PIBG dan tambahg bas sekolah yang meningkat saban tahun.

Berhubung isu itu, beliau berkata KPM diminta mengkaji semula perbelanjaan tambahan persekolahan seperti pakaian aktiviti sukan dan beruniform, dengan kementerian itu juga akan mengadakan sesi libat urus dengan kerajaan negeri untuk menyediakan perkhidmatan bas percuma bagi golongan berpendapatan rendah.

Mesyuarat turut dimaklumkan mengenai dapatan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan 2023/2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, yang mendapati peningkatan pendapatan dan perubahan gaya hidup terus membentuk corak perbelanjaan isi rumah di Malaysia, dengan peralihan daripada keperluan asas kepada perkhidmatan serta barangan bukan keperluan.

"Saya percaya, keputusan yang diperoleh pada mesyuarat ini, memperlihatkan komitmen kerajaan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dalam rencana menangani kos sara hidup termasuk melalui inisiatif meningkatan pendapatan, program jualan murah dan bantuan tunai," katanya.

Turut hadir pada mesyuarat itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali serta timbalannya Datuk Dr Fuziah Salleh, pegawai kanan kementerian, wakil kerajaan negeri, korporat, pertubuhan bukan kerajaan, industri dan pengguna.

-- BERNAMA




#TVET #tahfiz #kebolehpasaran pelajar #Ahmad Zahid Hamidi